Bagi yang ingin mohon Rumah Mesra Rakyat, terdapat beberapa syarat kelayakan yang perlu dipenuhi, termasuk pendapatan isi rumah antara RM750 hingga RM5,000 serta mempunyai tanah yang bersesuaian untuk pembinaan rumah.
Memiliki rumah sendiri menjadi impian ramai, namun kekangan kewangan menyebabkan sebahagian golongan berpendapatan rendah sukar mendapatkan kediaman yang selesa untuk keluarga.
Baca juga: JAWI Mula Laksana Pengebumian Kubur Bertingkat Di Kepong, Jenazah Diturunkan Sedalam 8 Kaki
MOHON RUMAH MESRA RAKYAT, HARGA BERMULA RM90,000

Menerusi perkongsian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di media sosial, program ini menyasarkan golongan berpendapatan isi rumah antara RM750 hingga RM5,000, khususnya mereka yang tidak mempunyai rumah sendiri atau tinggal di rumah usang dan tidak sempurna.
Program Rumah Mesra Rakyat menawarkan kediaman pada harga bermula RM90,000, dengan subsidi kerajaan sebanyak RM20,000 bagi membantu mengurangkan beban kos pembinaan rumah.
Selain itu, bayaran bulanan dinyatakan serendah RM350, sekali gus memberi peluang kepada golongan yang berkelayakan untuk merancang kewangan dengan lebih baik dalam usaha memiliki kediaman sendiri.
Bagaimanapun, harga rumah, jumlah bayaran bulanan dan kelulusan permohonan tertakluk pada ketetapan serta syarat yang ditentukan oleh pihak berkenaan.
Syarat kelayakan permohonan Rumah Mesra Rakyat
Antara syarat kelayakan Rumah Mesra Rakyat adalah seperti berikut:
1. Pemohon mestilah warganegara Malaysia.
2. Pemohon berumur 18 tahun ke atas. Pemohon yang berumur melebihi 43 tahun perlu mempunyai pemohon bersama.
3. Pendapatan bulanan seisi rumah adalah antara RM750 hingga RM5,000.
4. Pemohon dan pasangan, jika ada, tidak memiliki rumah sendiri atau memiliki rumah yang usang dan tidak sempurna.
5. Permohonan terbuka kepada individu yang berkahwin atau bujang, termasuk ibu atau bapa tunggal, balu, janda dan duda.
6. Pemohon perlu mempunyai tapak atau tanah yang bersesuaian dan bebas daripada gadaian atau bebanan. Jika tanah bukan milik pemohon, kebenaran daripada pemilik tanah perlu diperoleh.
7. Keluasan tanah hendaklah tidak kurang daripada 3,000 kaki persegi, tertakluk pada reka bentuk rumah yang ditetapkan.

Walau bagaimanapun, kelayakan permohonan tertakluk pada peruntukan kewangan serta sebarang perubahan syarat yang ditetapkan dari semasa ke semasa.
Cara melakukan pemohonan secara dalam talian
Bagi yang memenuhi syarat ditetapkan, permohonan Rumah Mesra Rakyat boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web rasmi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Pemohon boleh melayari laman web www.spnb.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program, syarat kelayakan dan prosedur permohonan.
Sebelum mengemukakan permohonan, pastikan maklumat berkaitan pendapatan isi rumah, status pemilikan rumah dan tanah adalah tepat serta dokumen yang diperlukan disediakan.
Sumber: Facebook KPKT Malaysia
