Seorang bekas pelajar gagal dalam rayuan saman RM400,000 terhadap guru, pengetua sekolah dan kerajaan berhubung kejadian menyembunyikan telefon bimbit ketika peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), enam tahun lalu.
Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak saman berkenaan pada 16 Disember lalu. Bagaimanapun, hakim turut menjelaskan bahawa pihak sekolah tidak mempunyai kuasa untuk memeriksa kandungan telefon bimbit yang dirampas daripada pelajar.
BEKAS PELAJAR GAGAL RAYUAN KES SOROK iPhone DALAM SELUAR DALAM KETIKA PERCUBAAN SPM

Gambar hiasan: Gemini AI
Mahkamah tegur tindakan periksa kandungan telefon
Hakim Yusrin Faidz Yusoff memutuskan bahawa pihak sekolah boleh merampas dan menyimpan telefon bimbit, tetapi tidak boleh sewenang-wenangnya mengakses kandungan digital di dalamnya.
Menurut beliau, pekeliling Kementerian Pendidikan (KPM) dan peraturan peperiksaan sekolah tidak secara jelas memberikan kuasa kepada guru untuk memeriksa kandungan telefon yang dirampas.
Beliau turut menyatakan pihak sekolah gagal mematuhi prosedur rampasan, termasuk merekodkan nombor kad pengenalan dan tandatangan Nur Nabilah Ahmad Zambala serta memaklumkan perkara itu kepada ibu bapanya.
“Walaupun telefon itu sememangnya bahan bukti, pemilikan bahan bukti secara sah tidak dengan sendirinya memberikan kuasa untuk mengakses kandungan digitalnya.
“Memandangkan pekeliling mahupun peraturan peperiksaan sekolah tidak memberikan kuasa sedemikian, pemeriksaan itu adalah tindakan melaksanakan kuasa di luar kerangka peraturan,” katanya.
Walaupun terdapat ketidakpatuhan prosedur, hakim memutuskan perkara itu tidak secara automatik membuktikan kecuaian. Guru terbabit didapati bertindak secara munasabah ketika menyiasat dakwaan penipuan peperiksaan.
iPhone ditemui ketika pemeriksaan mengejut
Kes itu berpunca daripada kejadian pada 25 Oktober 2020 di SMK Sura, Dungun, Terengganu, ketika Nabilah menduduki peperiksaan percubaan SPM bagi mata pelajaran Sains Rumah Tangga.
Pemeriksaan mengejut dilakukan selepas dua pelajar membuat aduan kerana mengesyaki Nabilah meniru dalam peperiksaan.
Telefon bimbit yang ditemukan disembunyikan di dalam seluar dalamnya itu kemudian diperiksa. Hasil pemeriksaan menemukan nota, soalan peperiksaan dan skema jawapan bagi beberapa mata pelajaran.
Baca juga: Musim Peperiksaan Dah Tiba…Ini Senarai Doa ‘Power’ Bantu Anak Skor, Mak Ayah Boleh Amalkan Bersama
Isu Kebocoran Soalan Peperiksaan

Gambar hiasan: Gemini AI
Dalam keputusannya, Yusrin turut membangkitkan persoalan mengenai kegagalan pihak sekolah menyiasat bagaimana Nabilah memperoleh kertas soalan sulit peperiksaan percubaan SPM dan skema jawapan bagi beberapa mata pelajaran.
Menurut beliau, perkara itu perlu diberi perhatian serius kerana melibatkan kemungkinan kebocoran bahan peperiksaan.
“Persoalan ini (sumber kebocoran) jauh lebih serius berbanding kesalahan berkaitan telefon bimbit dan penipuan peperiksaan itu sendiri,” katanya.
Hakim turut memutuskan pemeriksaan mengejut berkenaan wajar kerana dilakukan susulan aduan pelajar dan dijalankan di dewan tertutup.
Beliau juga memutuskan bukti yang diperoleh daripada telefon bimbit itu kekal boleh diterima di mahkamah walaupun pemeriksaan dilakukan tanpa kebenaran.
Sumber: Berita Harian
