Bersalin

Risau Bayi Kuat Menggeliat & Meneran Sampai Muka Merah. Ini 5 Perkara Ibu Ayah Nak Tahu

4.2K
SHARES

“Eh, asyik meneran dan menggeliat je baby ni sampai merah-merah mukanya . Nak kata sembelit tu tak juga. Kesian pulak tengok. Ada apa-apa yang tak kena ke?”

Sebagai ibu bapa, kita memang mudah risau bila tengok bayi asyik meneran dari tadi. Gaya menggeliatnya pun nampak macam tak selesa. Sakit perutkah? Sembelitkah? Atau memang normal untuk bayi baru lahir berkelakuan begini?

Mari kita ketahui beberapa perkara yang berkaitan tabiat ini dan adakah ianya membimbangkan.

5 Perkara Ibu Ayah Nak Tahu Tentang Bayi Yang Kuat Meneran & Menggeliat

1. Kenapa Bayi Baru Lahir Menggeliat & Meneran?

Menurut laman web kesihatan HealthLine.com, biasanya bayi meneran kerana mereka sedang belajar untuk mengawal pergerakan usus. Bayi baru lahir belum biasa merelakskan lantai pelvik mereka di samping menggunakan tekanan abdominal untuk menggerakkan najis dan gas melalui sistem tertentu.

Oleh kerana otot mereka masih belum cukup kuat, mereka menanggung proses ini dengan diafragma yang menekan pada kotak suara (glottis). Proses inilah yang menyebabkan bayi membuat bunyi seolah-olah meneran dan menggeliat. Gejala ini dikenali sebagai Grunting Baby Syndrome (GBS) dan ia adalah sesuatu yang normal.

2. Sampai Bilakah Bayi Akan Meneran & Menggeliat?

Gejala ini sepatutnya akan berkurangan apabila bayi semakin besar. Setiap bayi berbeza. Namun dalam kebanyakan kes, bayi akan kerap meneran dalam bulan pertama setelah lahir.

Setelah beberapa minggu, bayi akan mula memahiri cara untuk mengkoordinasikan pergerakan najis. Sedikit demi sedikit, mereka akan kurang meneran dan tabiat ini akan hilang dengan sendirinya.

sawan demam

Foto Kredit: verywell.com

3. Risau Tengok Muka Sampai Merah-merah. Adakah Bayi Sedang Kesakitan?

Bila bayi anda tak menangis atau marah atau kesakitan ketika meneran atau mengeluarkan gas, ini bererti bayi anda tidak terganggu. Walaupun bayi meneran hingga wajahnya menjadi kemerahan, namun setelah beberapa ketika bayi anda kembali gembira aktif dan gembira, ia juga menunjukkan bahawa ia bukanlah masalah besar yang perlu anda risaukan.

Walaubagaimanapun, jangan keliru antara Grunting Baby Syndrome (GBS) dengan sembelit atau kembung. Selagi bayi anda dapat membuang najis seperti biasa setiap hari, anggaplah mereka sedang belajar mengkoordinasikan sistem pencernaan dan pembuangan najis mereka dengan efektif.

Orang tua-tua kata, ini adalah proses bayi untuk ‘membesar’.

 

4. Adakah Saya Perlu Berbuat Sesuatu?

Sebenarnya, satu-satunya cara untuk bayi anda menghilangkan proses meneran dan menggeliat ini adalah dengan belajar membuang air besar dengan cara yang betul. Mereka perlu merelakskan anusnya dalam masa yang sama menekan dengan abdomen untuk mengeluarkan najis atau gas.

Sekiranya anda mengesyaki bayi anda sembelit atau kembung, anda boleh membantu bayi dengan menyendawakannya, memperbaiki posisi semasa menyusu, atau mengurut bayi dengan lembut, memberi mandian hangat atau menggerak-gerakkan kaki bayi seperti mengayuh basikal.

5. Tanda-tanda Serius Yang Perlu Diperhatikan

Jika anda berasa tak sedap hati, anda boleh membawa bayi anda berjumpa doktor, terutamanya jika anda menemukan tanda-tanda berikut pada bayi:

  • Bayi tidak dapat membuang air besar selama beberapa hari
  • Bayi buang air besar berdarah
  • Bayi bernafas dengan laju, muntah-muntah
  • Bayi tidak menyusu secara normal
  • Bayi menangis berterusan dan tidak dapat ditenangkan
  • Perut bayi kelihatan kembung dan tidak boleh mengeluarkan gas
  • Demam, terutamanya pada bayi berusia bawah 3 bulan

Foto Kredit: rcemlearning.co.uk

Ia Adalah Sebahagian Proses Untuk Kesihatan Bayi

Kadang-kadang kita yang naik letih dan agak takut juga bila tengok anak asyik meneran. Tapi selagi bayi anda nampak sihat, aktif, gembira dan menyusu dengan baik, gejala ini bukanlah tanda sebarang penyakit.

Bahkan, ia sebenarnya mempunyai tujuan penting dalam membantu bayi belajar mengkoordinasikan sistem tubuhnya dengan efektif. Namun sekiranya anda tetap risau, bertanyalah dengan doktor anda untuk mendapatkan kepastian.

 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×