Famili

Baru Bebas Penjara, Bapa 5 Anak Kembali Lagi Ke Tirai Besi Kerana Curi Barang Dapur Termasuk Susu Bayi

barang dapur

Kesempitan hidup boleh meletakkan seseorang dalam keadaan sukar, namun perbuatan melanggar undang-undang tetap mempunyai akibat. Seorang bapa kepada lima anak di Kelantan dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah mencuri barang dapur bernilai RM394 dari sebuah pasar raya, bulan lalu.

Baca juga: Retatrutide & Ozempic Antara Ubat Cucuk Kurus Haram Yang Dirampas KKM, Nilai Melebihi RM400,000!

CURI BARANG DAPUR TERMASUK SUSUK BAYI, BAPA 5 ANAK DIPENJARA ENAM BULAN

barang dapur

Gambar hiasan.

Tertuduh, Wan Eskandar Wan Julihi, 43, melakukan kesalahan itu di pasar raya PKT Pasir Tumboh pada 11 Oktober lalu sebelum dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu.

Antara barangan yang dicurinya ialah 12 peket susu formula bayi, sembilan peket Milo, minuman ringan, makanan ringan dan pembuka tin.

Dalam alasan penghakiman bertarikh 1 November, Majistret R Vinoshen menjelaskan bahawa kesusahan hidup dan tanggungjawab keluarga bukan alasan yang secara automatik membolehkan seseorang menerima hukuman lebih ringan.

Kesempitan hidup bukan alasan untuk mencuri

Ketika prosiding, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Nasrun Nazmi Nik Mohamad, memaklumkan bahawa anak guamnya tidak bekerja dan baru dibebaskan dari penjara.

Wan Eskandar juga mempunyai lima orang anak yang perlu ditanggung, selain membayar sewa rumah sebanyak RM300 sebulan.

Menurut peguamnya, tertuduh turut menghidap penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan psoriasis. Dia menyesali perbuatannya serta memohon supaya mahkamah mempertimbangkan hukuman lebih ringan.

Bagaimanapun, mahkamah turut mengambil kira rekod kesalahan terdahulu tertuduh yang pernah disabitkan atas kesalahan menipu mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

“Mahkamah memandang serius perkara ini kerana tertuduh melakukan kesalahan mencuri walaupun pernah menjalani hukuman penjara sebelum ini.

“Dalam keadaan sedemikian, adalah wajar mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan supaya tertuduh insaf dan tidak mengulangi perbuatannya,” katanya.

Peribahasa Tamil purba jadi peringatan

Dalam menjelaskan pertimbangan mahkamah, Vinoshen turut memetik peribahasa Tamil purba daripada Tirukkural, karya sastera yang ditulis ahli falsafah Tiruvalluvar.

Peribahasa itu membawa maksud seseorang tidak seharusnya melakukan perbuatan salah atau tidak bermoral walaupun ibunya sendiri sedang kelaparan.

“Walaupun melihat ibu sendiri kelaparan, seseorang tidak sepatutnya melakukan perbuatan tidak bermoral atau memalukan sehingga mengundang kecaman golongan bijaksana,” katanya ketika menjelaskan maksud peribahasa berkenaan.

Menurut majistret itu, keadaan peribadi tertuduh tetap dipertimbangkan. Namun, kepentingan awam dan keperluan memberikan pengajaran supaya kesalahan sama tidak berulang juga perlu diambil kira.

Beliau turut mengingatkan orang ramai bahawa perbuatan mencuri barangan bernilai kecil sekalipun masih merupakan kesalahan di sisi undang-undang.

“Orang ramai perlu ingat bahawa walaupun seseorang hanya mencuri sebuku roti dari kedai, perbuatan itu tetap menjadi kesalahan yang boleh dihukum penjara mengikut Kanun Keseksaan,” katanya.

Mengaku bersalah tidak menjamin hukuman lebih ringan

barang dapur

Gambar hiasan: Gemini AI

Vinoshen menjelaskan bahawa pengakuan bersalah boleh menjadi faktor mitigasi kerana membantu menjimatkan masa dan kos mahkamah. Bagaimanapun, ia tidak bermakna tertuduh secara automatik berhak menerima pengurangan hukuman.

Beliau turut merujuk keputusan mahkamah terdahulu bagi kesalahan mencuri mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang menunjukkan hukuman penjara lazimnya antara satu hingga tiga tahun.

Dalam kes Wan Eskandar, mahkamah memutuskan hukuman penjara enam bulan selepas mengambil kira faktor mitigasi dan fakta kes.

“Bagaimanapun, dalam kes ini, selepas mengambil kira faktor mitigasi tertuduh dan fakta kes, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara hanya enam bulan, iaitu lebih ringan berbanding trend hukuman sedia ada bagi kesalahan seumpama itu.

“Hukuman yang dijatuhkan juga setimpal dengan kesalahan dilakukan tertuduh,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli.

Sumber: Harian Metro

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×