Asuh

Ayah Cipta Alat Bantu Makan Khas Untuk Anak Hidap Penyakit ‘Rare’, Mahu Lihat Si Kecil Berdikari

ALAT BANTU MAKAN

Kasih seorang bapa terhadap anak mendorongnya menghasilkan sendiri alat bantu makan khas bagi memudahkan si kecil menjalani kehidupan harian.

Usaha Ameer Adzwan Rusli ini dilakukan demi membantu anaknya, Muhammad Areeq Eilman, 4, yang menghidap penyakit jarang ditemui, Arthrogryposis Multiplex Congenita (AMC), supaya dapat belajar menyuap makanan sendiri dan berdikari.

Baca juga: “Ini Sahih”- Buku Teks Digunakan Daiyan Trisha Ketika Tingkatan 5 Viral, Warganet Kongsi Reaksi Lucu

AYAH CIPTA ALAT BANTU MAKAN UNTUK ANAK, HIDAP PENYAKIT RARE

ALAT BANTU MAKAN

Penyakit berkenaan menyebabkan Eilman mengalami kekakuan pada sendi serta pergerakan anggota badan yang terbatas. Keadaan itu turut memberi kesukaran kepadanya untuk melakukan rutin harian, termasuk memegang sudu dan menyuap makanan ke mulut.

Menariknya, usaha menghasilkan alat bantuan tersebut bukan dilakukan oleh Ameer seorang diri. Eilman turut terlibat secara langsung dengan memberikan pandangan mengenai reka bentuk dan keselesaan alat yang dicipta bapanya.

Menurut Ameer, dia akan mendapatkan maklum balas daripada anaknya setiap kali mencuba reka bentuk baharu sebelum melakukan penambahbaikan berdasarkan keperluan Eilman.

“Eilman akan beritahu sendiri macam mana. Contohnya, saya buat satu barang dan kemudian dia pakai. Kalau dia tak selesa, dia akan beritahu papa sepatutnya macam ini, macam ini. Dia tunjuklah, kita ubah ikut apa dia selesa,” katanya.

Alat bantu makan yang selesai direka minggu lalu itu kini mula digunakan oleh Eilman. Malah, kanak-kanak berkenaan dilihat semakin mahir mengendalikan peralatan tersebut untuk makan sendiri.

Bagi Ameer, antara perubahan paling menggembirakan ialah apabila anaknya sudah mampu menikmati makanan mengikut keselesaan dan rentak sendiri tanpa perlu didesak untuk menghabiskan hidangan.

Walaupun kemampuan menyuap makanan sendiri mungkin dianggap perkara biasa bagi kanak-kanak lain, pencapaian itu membawa makna cukup besar buat Ameer dan keluarganya.

ALAT BANTU MAKAN

Rancang hasilkan lebih banyak alat bantuan untuk anak

Tidak terhenti setakat alat bantu makan, Ameer turut merancang menghasilkan beberapa peralatan tambahan yang boleh membantu memudahkan urusan harian Eilman.

Usaha itu diharapkan dapat memberikan lebih banyak ruang kepada anaknya untuk meneroka perkara baharu, selain menjalani aktiviti seperti belajar, bermain dan bergaul bersama kanak-kanak lain.

Bagi Ameer, setiap kemajuan yang dicapai Eilman merupakan satu pencapaian bermakna. Apa yang lebih penting, dia mahu anaknya terus membina keyakinan diri dan berpeluang melakukan pelbagai perkara mengikut kemampuan sendiri.

Baca juga: Isi Rumah Berpendapatan RM750 Hingga RM5000 Layak Mohon Rumah Mesra Rakyat, Jangan Terlambat!

Sumber: Buletin TV3 & Instagram Ameer Adzwan

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×