Asuh

“Satu Lagi Rezeki, Satu Lagi Amanah”- Ashraf Muslim Timang Anak Keenam, Titip Pesanan Menyentuh Hati

ashraf muslim

Kehadiran cahaya mata pastinya membawa kebahagiaan tersendiri buat setiap pasangan, apatah lagi apabila keluarga semakin bertambah. Begitulah yang dirasai pelakon Ashraf Muslim apabila berkongsi berita gembira kelahiran seorang lagi permata hati mereka pada September lalu.

Menerusi hantaran di Instagram, pemilik nama Mohd Ashraf Muslim itu memperkenalkan bayi lelaki berkenaan sebagai Affan Ashraf bin Mohd Ashraf yang dilahirkan pada 19 September 2026.

Baca juga: Baru 5 Tahun, Eusoff Dah Khatam Al-Quran Sebelum Masuk Tahun Satu, Anak Kembar Dr Sheikh Muszaphar Curi Tumpuan!

ASHRAF MUSLIM TIMANG CAHAYA MATA KEENAM

ashraf muslim

Ashraf Muslim menyambut kelahiran cahaya mata keenam.

“Alhamdulillah… 19 September 2026, lahirlah seorang lagi permata hati kami, Affan Ashraf bin Mohd Ashraf,” kongsinya.

Lebih menyentuh hati, perkongsian tersebut bukan sekadar mengabadikan detik bahagia menyambut ahli keluarga baharu, malah turut memperlihatkan harapan seorang bapa terhadap anak-anak yang sedang membesar.

Seronok Lihat Abang Dan Kakak Sambut Kehadiran Adik Baharu

Menurut Ashraf, dia berasa gembira melihat keterujaan anak-anak lain menyambut kehadiran si kecil dalam keluarga mereka.

Bagi pelakon berusia 45 tahun itu, kelahiran Affan bukan sekadar menambah bilangan ahli keluarga, sebaliknya menjadi satu lagi sebab untuk dirinya terus bekerja keras demi masa depan anak-anak.

“Seronok tengok abang-abang dan kakak-kakak menyambut kehadiran adik baru. Satu lagi rezeki, satu lagi amanah dan satu lagi sebab untuk ayah terus kuat berusaha,” tulisnya.

Dalam masa sama, Ashraf mengakui semakin ramai anak yang dikurniakan, semakin besar kesedaran tentang tanggungjawab yang perlu digalas sebagai seorang bapa.

“Makin bertambah anak, makin ayah sedar… besarnya tanggungjawab yang ALLAH pinjamkan. Mereka bukan sekadar kebahagiaan kita di dunia, tetapi amanah yang akan ditanya di akhirat nanti.

“Ayah tak mampu menjanjikan kehidupan yang sempurna, tetapi ayah akan cuba sedaya upaya memberikan yang terbaik. Semoga mama, ibu dan ayah diberi kekuatan untuk mendidik kalian menjadi anak-anak yang soleh dan solehah,” tulisnya lagi.

Tak Perlu Kaya Atau Terkenal, Cukuplah Anak Kenal Allah

Antara luahan yang turut mencuri perhatian ialah pesanan Ashraf kepada anak-anaknya agar tidak menjadikan kekayaan atau populariti sebagai ukuran untuk membahagiakan ibu bapa.

Sebaliknya, dia berharap mereka membesar sebagai insan yang mengenal Allah, menjaga solat dan sentiasa mendekatkan diri dengan al-Quran.

“Anak-anakku, tak perlu jadi kaya atau terkenal untuk membahagiakan ayah. Cukuplah kalian menjadi insan yang mengenal ALLAH, menjaga solat, bersahabat dengan al-Quran dan tidak pernah lupa mendoakan kami apabila suatu hari nanti kami sudah tiada.

“Ya ALLAH, jagalah anak-anak kami ketika kami tidak mampu menjaga mereka. Pimpinlah mereka ketika kami tidak lagi mampu membimbing mereka. Jadikanlah mereka penyejuk mata dan bekalan kami menuju syurga-Mu,” kongsinya.

Menutup perkongsian tersebut, Ashraf meluahkan rasa syukur atas segala nikmat yang dikurniakan kepada keluarganya.

“Terima kasih Ya ALLAH atas segala nikmat ini. Tak terhitung banyaknya. Alhamdulillah untuk segala-galanya,” kongsinya lagi.

Ashraf Muslim Dikurniakan Anak Daripada Dua Perkahwinan

ashraf muslim

Gambar Halimaton Saadiah Sulaiman (Berita Harian): Pelakon Ashraf Muslim bersama isteri-isterinya, Noor Dayana Lokman (kiri) dan Wan Sakinah Ahmad Saburi.

Untuk rekod, Ashraf mendirikan rumah tangga bersama Noor Dayana pada 24 September 2011 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Anas Ashraf.

Pelakon itu kemudian berkahwin dengan Wan Sakinah pada Julai 2013. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan lima orang anak iaitu Sarah Ashraf, Adam Ashraf, Safiyyah Ashraf, Ali Ashraf dan Affan Ashraf.

Kehadiran Affan pastinya menambah seri keluarga besar pelakon berkenaan, sekali gus menjadi satu lagi amanah yang perlu dibesarkan dengan penuh kasih sayang.

Sumber: Instagram @ashrafmuslim

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×