Asuh

5 Sebab Jangan Biasakan Anak Tidur Lewat

2.4K
SHARES

“Alah, biarlah dia main puas-puas dulu. Lagipun tengah cuti sekolah. Esok bangun lewat pun takpe…”

Kalau kita lihat senario di Malaysia, jam 10 malam masih ramai anak-anak kecil yang berlegar-legar di shopping mall bersama ibu bapa walaupun esoknya bukan hari cuti. Jika dibandingkan dengan di luar negara, biasanya anak-anak telah disuruh masuk tidur seawal jam 7.00 – 8.00 malam lagi. Kalau kita, nak suruh anak tidur pukul 9.00 malam pun mungkin akan terasa kekok.

Sebenarnya tidur adalah keperluan yang penting bagi seorang anak, walaupun mereka sendiri menidakkannya. Yalah, masing-masing tahan mata dan berkeras tak mahu tidur. Namun sebagai ibu bapa, ada beberapa perkara yang wajar kita beri perhatian tentang waktu tidur dan rutin yang perlu ditetapkan bagi mereka.

5 Sebab Jangan Biasakan Anak Tidur Lewat, Walaupun Esok Cuti

Menurut kajian sains, berikut adalah beberapa sebab yang menyokong tindakan ibu bapa memupuk tabiat anak supaya tidur awal setiap hari.

1. Risiko Obesiti

Melalui Journal of Pediatrics, terdapat bukti yang menunjukkan bahawa anak-anak usia prasekolah yang tidur awal kurang berisiko untuk menjadi obes ketika mencapai usia remaja. Secara tepatnya, kebarangkalian untuk anak-anak menjadi obes dijangka 50% lebih tinggi bagi anak-anak yang tidur lewat.

Menurut Sarah Anderson, ketua penyelidik dalam kajian tersebut, ada 2 sebab utama bagaimana ini boleh terjadi. Pertama, kanak-kanak yang tidur lewat biasanya akan kekurangan tidur. Apabila kekurangan tidur, perubahan akan berlaku pada hormon yang mengawal selera dan metabolisme tubuh.

Keduanya, kanak-kanak yang tidur lewat lebih cenderung untuk memakan snek, terutamanya apabila mereka menonton televisyen yang mengiklankan pelbagai jenis makanan. Oleh sebab itu, rutin tidur awal ini menjadi faktor penting untuk menjamin kesihatan mereka dalam jangka masa panjang.

waktu tidur anak

Foto Kredit: depositphotos.com

2. Hiperaktif, Mudah Mengamuk

Tahukah anda, anak yang mengantuk tidak menunjukkan tanda-tanda mengantuk seperti orang dewasa. Sebaliknya, mereka boleh menunjukkan simptom hiperaktif atau ADHD, lebih-lebih lagi apabila mereka makin lewat tidur. Seperti yang dijelaskan oleh National Sleep Foundation, ini semua berlaku kerana si kecil tersebut telah menjadi terlalu letih.

Menurut laman web sleep.org, mungkin ada yang berpendapat anak-anak yang tidur lewat ini tetap akan mendapat tidur yang cukup jika mereka bangun lebih lewat. Tapi kalau anda perasan, anak-anak kecil lebih suka bangun awal walaupun mereka tidur lewat. Jadi, tak semestinya cara ini akan membantu anak mendapatkan tidur yang cukup, bahkan ia boleh menyebabkan anak menjadi ‘moody’ dan mudah mengamuk apabila bangun tidur.

Foto Kredit: delfi.lt

3. Kurang Kualiti Tidur

Rutin yang konsisten dan waktu tidur yang awal membantu memberi perasaan selamat kepada kanak-kanak.

Waktu yang konsisten ini juga memberi isyarat kepada minda dan tubuh untuk bersedia masuk tidur. Secara tidak langsung, mereka akan lebih mudah lena. Ketika mereka tidur inilah produksi hormon melatonin akan terhasil secara semulajadi, di mana ia membantu kanak-kanak berasa lebih tenang.

Sekiranya proses ini terganggu, mereka cenderung mendapat mendapat tidur yang kurang berkualiti.

Foto Kredit: huffingtonpost.com

4. Menjejaskan Kecerdasan Otak

Tidur yang cukup dan berkualiti penting untuk membaikpulih fungsi tubuh dan minda seseorang, termasuklah anak kecil.

Dalam satu eksperimen yang dilaporkan oleh Journal of Pediatric Psychology, 32 orang kanak-kanak berusia 8 hingga 12 tahun diarahkan untuk tidur 1 jam awal dan 1 jam lewat berbanding biasa. Selepas seminggu, prestasi mereka dalam matematik, memori, dan emosi akan dinilai. Hasilnya, ketika mereka tidur lewat 1 jam, berlakunya kemerosotan dalam ujian tersebut.

tips anak yang bijak

Foto Kredit: leiturainfantil.com.br

5. Membentuk Kitaran Yang Negatif

Sebuah kitaran negatif boleh terbentuk apabila kanak-kanak kekurangan tidur. Apabila kurang tidur, mereka akan mengalami masalah meregulasikan emosi, stres, dan rasa terganggu. Semua simptom ini pula akan menyukarkan mereka untuk tidur pada hari yang berikutnya, dan begitulah seterusnya.

Ulas pakar lagi, anak yang tidur lewat ini biasanya terlalu mengantuk dan akan tertidur tanpa rutin yang sepatutnya. Ini bermakna mereka tidak berpeluang melatih diri untuk tidur sendiri. Akibatnya, jika mereka terjaga tengah malam, anak ini tidak mahir untuk tidur semula tanpa bantuan ibu bapa. Inilah antara sebab ada sesetengah anak kecil selalu terjaga dan merengek pada waktu malam.

Pentingnya Tidur Berkualiti Untuk Kanak-kanak

Menurut kajian, waktu tidur yang paling ideal bagi bayi dan anak kecil berusia prasekolah adalah sekitar jam 7.00 hingga 8.00 malam. Semakin meningkat usia mereka, barulah waktu tidur boleh dianjakkan lewat sedikit.

Apapun, tak salah memberi sedikit kelonggaran pada waktu cuti, dan tidak semua kanak-kanak perlu masuk tidur dan bangun pada waktu yang sama. Namun, apa yang penting adalah rutin yang konsisten dan waktu tidur yang tidak terlalu lewat.

Sebagai panduan daripada National Sleep Foundation, berikut adalah jumlah jam tidur yang diperlukan oleh anak mengikut usia.

  • Bayi baru lahir hingga 3 bulan – 14 hingga 17 jam
  • Bayi 4 bulan hingga 11 bulan – 12 hingga 15 jam
  • Anak kecil 1 tahun hingga 2 tahun – 11 hingga 14 jam
  • Anak 3 tahun hingga 5 tahun – 10 hingga 13 jam
  • Anak 6 tahun hinga 13 tahun – 9 hingga 13 jam

Seperkara lagi, elakkan gajet dan TV apabila menghampiri waktu tidur kerana ia adalah salah satu faktor yang dapat mengganggu kualiti tidur yang baik.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×