Asuh

6 Sebab Anak Cepat Bosan Dengan Mainan. Asyik Nak Gajet Je!

267
SHARES

Bermacam-macam jenis mainan dah kita belikan. Tapi yang hairannya tak sampai 5 minit si anak dah tak nak bermain lagi dengan mainannya. Bila ke kedai, asyik minta mainan baru dengan alasan dah bosan dengan mainan lamanya.

Tak kiralah semahal atau secanggih mana mainan yang kita belikan untuknya, anak-anak kelihatan cepat bosan dengan mainannya. Cuba kalau diberi gajet, cepat betul mereka ‘segar’ kan?

6 Sebab Anak Cepat Bosan Dengan Mainannya

Oleh itu, ibu bapa kena tahu 6 sebab ini supaya anak lebih berminat untuk bermain dengan mainan mereka. Tak adalah nak menghadap gajet saja 24 jam!

1. Mainan Tidak Lagi Sesuai Dengan Usia Anak

Usia adalah antara faktor terpenting bila kita sebut tentang pilihan mainan kanak-kanak. Biasanya kalau mainan itu terlalu mudah, ia kurang mencabar. Tapi kalau susah sangat nak dimainkan, anak pun boleh stres juga. Kedua-dua keadaan ini boleh menjadikan anak cepat bosan dengan mainan tersebut.

Kita boleh mengambil kira usia yang disyorkan untuk mainan tersebut mengikut panduan di kotak mainan. Panduan tersebut memberi sedikit gambaran dalam fungsi mainan tersebut dalam melatih perkembangan kanak-kanak. Setiap mainan mempunyai fungsi berbeza dalam mengasah kemahiran kanak-kanak.

Nak pilih mainan untuk anak yang dah tahu bercakap mungkin agak mudah sebab mereka biasanya pandai meminta dan menunjukkan minat masing-masing. Bagi bayi pula, kita kena peka dengan milestone mereka sebab bayi cepat berkembang dari bulan ke bulan.

Kalau nak tahu cara memilih mainan sesuai dengan usia bayi, boleh rujuk artikel ini: Jangan Beli Mainan Bayi Sebelum Baca Tips Ini. Baru Sesuai Usia!

permainan pintar

Foto Kredit: rainbowtreekids.com

2. Nampak Benda Yang Sama

Setiap kali melihat tempat / kotak permainan, mereka nampak mainan yang sama. Bukannya tak ada mainan lain, tapi mungkin mereka ‘terlupa’ kewujudan mainan-mainan yang lain.

Jadi, cuba ganti-gantikan mainan yang mudah diakses untuk menarik perhatiannya. Gunakan teknik ‘asing dan sorok’ supaya hanya mainan tertentu yang dikeluarkan setiap kali bermain. Dengan ini, anak juga tidak akan cepat bosan. Malah, berasa excited pula apabila terjumpa mainan yang dah lama tak dimainkan oleh mereka.

Boleh rujuk di SINI untuk mengetahui teknik kemas dan simpan mainan anak yang betul supaya mereka tak cepat bosan.

cara simpan mainan

3. Banyak Sangat Mainan!

Sebenarnya memanjakan anak dengan melambakkan mainan untuknya bukanlah satu tabiat yang baik.

Menurut Pakar Pendidikan Kanak-kanak, terlalu banyak mainan dapat menyumbang ke arah rangsangan yang berlebihan. Ini menyebabkan anak rasa rimas sehingga tidak berminat untuk bermain dengan mainan tersebut. Mereka juga mungkin mudah berasa keliru dan sukar membuat keputusan untuk memilih alat permainan yang nak dimainkan.

Sebaliknya jika jumlah permainan dihadkan, anak lebih mudah fokus pada mainan yang digemari. Malah, dengan jumlah yang terhad ini mereka cenderung berimaginasi dan memikirkan lagi pelbagai cara untuk bermain dengan mainan tersebut.

mainan untuk anak

Foto Kredit: bluemaize.com

4. Ibu Bapa Tak Ikut Serta / Terlalu Kerap Ikut Serta

Ada kalanya anak cepat bosan kerana mereka tak tahu menjadikan sesebuah permainan lebih menarik. Maka, penglibatan ibu bapa adalah penting sebagai langkah pertama menggalakkan anak agar suka bermain.

Namun, kita harus ingat yang anak perlukan ruang untuk belajar dan membesar. Kalau kita asyik turut serta, mereka mungkin akan terlalu bergantung kepada ibu bapa dan tak tahu bermain sendiri.

Oleh itu, pakar mencadangkan pada ibu bapa untuk memberi masa kepada anak untuk bermain dengan sendiri dahulu dan membiarkan mereka meneroka. Tak usah terlalu berhati-hati ketika anak sedang bermain, cukuplah hanya memantau dari jauh. Dengan cara ini anak dapat belajar untuk bergantung kepada diri sendiri dan melatih kemahirannya secara semulajadi.

aktiviti bermain sambil belajar

Foto Kredit: iantackettbucketlist.blogspot.my

5. Anak Tak Berminat Untuk Bermain Ketika Itu

Kadangkala kita lupa yang anak kecil kita juga sama seperti kita dan orang lain yang mempunyai keinginan dan kegemaran yang tersendiri. Kita sendiri mesti tak suka didesak untuk melakukan perkara yang kita tidak mahukan lakukan. Begitu juga halnya dengan anak kecil. Mungkin pada masa itu mereka lapar, tidak selesa, atau memang tak ada mood untuk bermain.

Ibu bapa boleh mengambil inisiatif dengan memastikan mereka ditempatkan di ruang yang selesa. Jangan lupa pastikan semua keperluan anak dah dipenuhi terlebih dahulu.

Kemudian, barulah cadangkan 2-3 jenis mainan berbeza. Contohnya jenis quiet toys (puzzle, blok binaan) atau bola. Ini dapat membantu mereka membuat pilihan dengan lebih mudah.

Foto kredit : kranjang.com

6. Asyik ‘Disuap’ Dengan Gajet

Menurut Pakar Psikologi Perkembangan Kanak-kanak, rasa bosan anak terhadap mainan yang cepat adalah hal yang normal. Ini berlaku kerana tempoh fokus (attention span) anak kecil adalah lebih pendek berbanding orang dewasa. Disebabkan itu, anak cepat berasa bosan.

Sungguhpun begitu, dalam sedikit masa lagi mereka akan bermain semula dengan mainan itu – terutamanya apabila mereka sudah mampu memikirkan pelbagai cara untuk bermain dengannya.

Namun sekiranya mereka asyik di’suap’ dengan gajet, minda mereka tidak akan berkembang dan batas imaginasi mereka juga menjadi terhad. Mainan seperti Playstation, Game Boy, atau tablet cenderung menjadikan anak pasif selain menyebabkan anak ketagih. Apa yang menakutkan, pakar mendapati ketagihan ini boleh diibaratkan seperti memberi mereka 1 gram dadah jenis kokain!

Foto Kredit: youtube.com

Berasa Bosan Adalah Normal. Bahkan Ia Mungkin Petanda Yang Sihat

Setiap kanak-kanak adalah berbeza dan penuh dengan kejutan ketika waktu bermainnya tiba. Jangan putus asa sekiranya anak tidak berminat untuk bermain. Ini menunjukkan minda anak anda sedang berkembang dan dia juga sudah mula ada perkara yang menjadi kegemarannya.

Menariknya, saintis mendapati bahawa sesekali kita ibu bapa patut biarkan saja anak-anak berasa bosan. ‘Kebosanan’ sebenarnya dapat memberi kebaikan kepada perkembangan mental dan fizikal anak. Ia juga memberi peluang kepada otak mereka untuk menjadi lebih produktif telah dilatih untuk menyelesaikan masalah.

Mainan yang mahal dan baru tak semestinya menyelesaikan masalah anak bosan. Kadang-kadang cukup hanya dengan bahan yang ‘simple’ seperti pen, kertas, cat warna, atau kotak kosong pun dah boleh buat anak gembira dan ceria tanpa gajet!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×