Famili

Lahir Tanpa Identiti Ibu Bapa Kandung, Anak Angkat Diiktiraf Sebagai Warganegara Malaysia

WARGANEGARA MALAYSIA

Seorang kanak-kanak yang dilahirkan di Malaysia dan tidak diketahui identiti ibu bapa kandungnya akhirnya diiktiraf sebagai warganegara Malaysia selepas Mahkamah Tinggi di sini memutuskan status kewarganegaraannya mengikut kuat kuasa undang-undang.

Baca juga: Khairul Aming Umum Sistem Tempahan Baharu Rembayung! 20,000 Pelanggan Dah ‘Lock’ Untuk Sebulan

ANAK ANGKAT TANPA IDENTITI IBU BAPA DIIKTIRAF WARGANEGARA MALAYSIA

WARGANEGARA MALAYSIA

Kredit: Magnific

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Moses Susayan yang mendapati kanak-kanak berkenaan layak memperoleh kewarganegaraan berdasarkan Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, dibaca bersama Bahagian II dan III Jadual Kedua.

Mahkamah turut mengarahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat pembetulan terhadap rekod kelahiran kanak-kanak itu serta mengeluarkan sijil kelahiran dan MyKad yang mengesahkan statusnya sebagai warganegara Malaysia dalam tempoh 30 hari.

Dalam penghakiman tersebut, hakim mendapati kanak-kanak berkenaan memenuhi syarat untuk mendapat kewarganegaraan menerusi Seksyen 1(a) Bahagian II, yang dibaca bersama Seksyen 19B Bahagian III Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah mengambil pendekatan tafsiran yang lebih luas terhadap peruntukan berkenaan, termasuk meliputi bayi yang ditinggalkan ketika dilahirkan atau tidak lama selepas kelahiran, khususnya apabila identiti ibu bapa kandung tidak dapat dipastikan.

Selain itu, pihak kerajaan didapati gagal mengemukakan bukti bahawa ibu kandung kanak-kanak tersebut bukan pemastautin tetap di Malaysia ketika dia dilahirkan.

Mahkamah turut memberikan alasan alternatif bahawa kanak-kanak itu layak mendapat kewarganegaraan berdasarkan Seksyen 1(e), dibaca bersama Seksyen 2(3) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana tiada keterangan yang membuktikan kanak-kanak berkenaan memiliki atau memperoleh kewarganegaraan negara lain dalam tempoh setahun selepas kelahirannya.

Kanak-kanak tak wajar tanggung kesilapan orang dewasa

WARGANEGARA MALAYSIA

Kredit: Magnific

Hakim menegaskan bahawa kanak-kanak tersebut tidak sepatutnya menerima kesan daripada tindakan orang dewasa atau siasatan yang gagal memberikan keputusan muktamad.

Beliau turut menjelaskan bahawa kanak-kanak berkenaan tidak mempunyai sebarang penglibatan dalam proses pendaftaran kelahiran yang dipertikaikan dan tidak melakukan penipuan.

“Kanak-kanak itu tidak mempunyai suara dalam proses pendaftaran asal dan tidak melakukan sebarang penipuan. Jika berlaku pemalsuan, ia berpunca daripada orang dewasa, dan individu yang bertanggungjawab sudah berdepan prosiding jenayah,” katanya.

Kes berkenaan melibatkan sepasang suami isteri yang menerima seorang bayi daripada saudara mereka untuk dijadikan anak angkat.

Pada peringkat awal, pasangan itu mendaftarkan bayi berkenaan sebagai anak kandung mereka. Namun, JPN kemudian memadamkan maklumat pasangan tersebut selepas mendapati mereka bukan ibu bapa biologi kanak-kanak berkenaan.

Susulan itu, ibu angkat berkenaan didakwa dan dikenakan hukuman kerana memberikan maklumat palsu ketika proses pendaftaran kelahiran. Pasangan tersebut kemudiannya memperoleh perintah pengangkatan bagi mengesahkan status anak angkat berkenaan.

Bagaimanapun, rekod kelahiran kanak-kanak itu kemudiannya menunjukkan maklumat ibu bapanya tidak diperoleh, manakala status kewarganegaraannya dicatatkan sebagai ‘Bukan Warganegara’.

Mahkamah bagaimanapun tidak menerima hujah bahawa status pasangan angkat sebagai warganegara Malaysia secara automatik memberikan hak kewarganegaraan kepada kanak-kanak itu di bawah Seksyen 1(a).

Sebaliknya, permohonan tersebut dibenarkan berdasarkan dua peruntukan perlembagaan lain yang dinyatakan dalam penghakiman.

Permohonan berkenaan difailkan terhadap Ketua Pengarah JPN, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia.

Pasangan itu diwakili peguam Agalya J Munusamy dan Kritika Padmanapan, manakala pihak responden diwakili Norazlinawati Mohd Arshad daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Perak.

Baca juga: Buat Pelbagai Kerja Tapi Masih Rasa Tak Cukup? Jadikan Doa Pendek Ini Sebagai Amalan Harian

Sumber: Berita Harian

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×