Selepas melalui proses perundangan dan diperintahkan menjalani pemulihan akidah, Aliff Daniel Adli telah mengikuti Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada hari ini.
Majlis berkenaan berlangsung di Auditorium Dahlia, Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Shah Alam dari jam 2.30 petang hingga 4.30 petang.
ALIFF DANIEL ISYTIHAR TAUBAT HARI INI (5 NOVEMBER)

Tangkap layar siaran langsung Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) Aliff Daniel.
Menerusi hebahan di Facebook rasmi JAIS, orang ramai turut dijemput mengikuti majlis tersebut secara dalam talian menerusi siaran langsung di laman Facebook jabatan berkenaan.
JAIS Anjur Majlis Pengisytiharan Taubat Aliff Daniel
Majlis Istitabah itu diadakan susulan tindakan Aliff Daniel menyertai ritual keagamaan yang bertentangan dengan hukum syarak.
Untuk makluman, istilah Istitabah merujuk kepada proses mengajak seseorang yang melakukan kesalahan berkaitan akidah supaya bertaubat dan kembali kepada ajaran Islam.
Pelaksanaan majlis berkenaan turut menjadi sebahagian daripada proses pemulihan yang perlu dilalui Aliff Daniel selepas keputusan mahkamah sebelum ini.
Baca juga: Menteri Agama Puji Jep Sepahtu ‘Wira’, Tak Culas Bayar Zakat & Wajar Dicontohi Masyarakat
Diperintah Jalani Pemulihan Akidah Selama Tiga Bulan
Terdahulu, lelaki berusia 21 tahun itu diperintahkan menjalani pemulihan akidah selama tiga bulan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman, Hulu Yam.
Perintah tersebut dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat pada Rabu selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pemujaan salah di sebuah kuil di Batu Caves pada 24 Januari 2024.
Keputusan itu dibuat mengikut Seksyen 54(1) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 sebagai alternatif kepada hukuman denda atau penjara.
Mahkamah turut menasihati Aliff Daniel supaya bertaubat nasuha dan kembali ke jalan yang benar kerana perbuatan tersebut merupakan kesalahan berat yang boleh merosakkan tauhid.
Dalam perkembangan sama, mahkamah menetapkan 25 Februari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan pihak pendakwaan memaklumkan laporan pemulihan akidah.
Pernah Tular Susulan Video Ritual Keagamaan

Tangkap layar: Ibu dan adik kepada Aliff Daniel turut hadir di Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) Aliff Daniel.
Sebelum ini, nama Aliff Daniel menjadi bualan selepas beberapa gambar dan video tular yang didakwa memaparkan dirinya menyertai ritual keagamaan bukan Islam.
Susulan penularan bahan berkenaan, JAIS menjalankan siasatan sebelum menahan lelaki itu bersama ibunya di Kuala Lumpur pada 13 Oktober lalu.
Penahanan tersebut dilakukan menerusi waran tangkap bersaling yang dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam dengan bantuan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Kini, Majlis Pengisytiharan Taubat yang dijadualkan berlangsung itu menjadi antara perkembangan terbaharu dalam kes berkenaan.
Sumber: Sinar Harian / JAIS
FT Image: Facebook JAIS
