Siapa sangka, pada usia baru 14 tahun, tiga pelajar Tingkatan Dua sudah mampu menghasilkan inovasi yang berpotensi membantu kehidupan golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan. Lebih membanggakan, hasil kreativiti mereka menerusi alat bantuan dikenali sebagai The Vision Sense berjaya membawa pulang gelaran johan pertandingan Samsung Solve For Tomorrow 2026.
Baca juga: [VIDEO] Permata Seni Koir Cipta Kejutan Di Jerman, Raih Juara Keseluruhan Dengan 29/30 Mata!
CIPTA ALAT BANTUAN OKU PENGLIHATAN, 3 PELAJAR MRSM BAGAN DATUK JOHAN SAMSUNG SOLVE FOR TOMORROW 2026

Kejayaan itu diraih oleh kumpulan InnovateZ dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bagan Datuk, Perak pada acara kemuncak The Grand Finale yang berlangsung di Crowne Plaza Kuala Lumpur City Centre pada 24 Oktober lalu.
Kumpulan berkenaan dianggotai oleh tiga pelajar iaitu Ayatul ‘Izzah Mohd Saiful Aizat, Hannah Nasuha Mohammad Hilmi dan Nur Fareeha Ahmad Hilmi.
Menerusi inovasi The Vision Sense, mereka mengetengahkan idea pembangunan teknologi yang memberi tumpuan kepada keperluan golongan OKU penglihatan.
Pencapaian ini bukan sahaja memperlihatkan kreativiti pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), malah menunjukkan bagaimana idea daripada golongan muda boleh diketengahkan untuk menangani cabaran yang dihadapi masyarakat.
Bersaing dengan pelajar sekolah menengah seluruh negara

Untuk pengetahuan, Samsung Solve For Tomorrow merupakan pertandingan inovasi yang membuka peluang kepada pelajar sekolah menengah berusia antara 13 hingga 15 tahun untuk menghasilkan idea kreatif bagi menyelesaikan permasalahan dunia sebenar.
Pertandingan yang berlangsung dari awal Julai hingga akhir Oktober 2026 ini melalui beberapa peringkat penilaian sebelum peserta terbaik dipilih ke pentas akhir.
Antara proses yang perlu dilalui peserta ialah:
- Peringkat awal: Setiap kumpulan perlu menyediakan penulisan dan cadangan inovasi sebelum menghantar penyertaan kepada pihak Samsung.
- Separuh akhir: Sebanyak 10 kumpulan dengan idea terbaik dipilih untuk ke peringkat ini.
- Bengkel Design Thinking: Peserta berpeluang mengikuti bengkel anjuran Samsung dengan kerjasama Universiti Malaya bagi memperkukuh idea dan pembangunan inovasi.
- Peringkat akhir: Hanya lima kumpulan terbaik dipilih berdasarkan penilaian juri terhadap idea serta potensi produk masing-masing.
Pada peringkat Grand Finale, kumpulan InnovateZ perlu bersaing dengan empat lagi kumpulan sekolah menengah yang mewakili Kuantan, Rawang, Beluran dan Tawau.
Antara inovasi lain yang diketengahkan peserta termasuk baja organik, teknologi keselamatan di lintasan jalan raya, bahan binaan tahan lasak serta sistem penghalau haiwan menggunakan teknologi digital.
Bagaimanapun, The Vision Sense berjaya membawa kumpulan InnovateZ dari MRSM Bagan Datuk dinobatkan sebagai johan keseluruhan.
Dibimbing dua guru, turut dapat kepakaran bidang kejuruteraan

Di sebalik kejayaan tiga pelajar ini, usaha mereka turut mendapat sokongan dan bimbingan daripada tenaga pengajar serta individu berpengalaman dalam bidang kejuruteraan.
Berdasarkan perkongsian Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bagan Datuk di Facebook, kumpulan InnovateZ dibimbing oleh:
- Ts. Muhammad Hafiz Azahari – Ketua Penyelia Inovasi.
- Mohd Faisal Fadzil – Guru Penasihat.
Selain itu, kepakaran Dr. Mohd Saiful Aizat Mohd Shafie dari bidang Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Sains Malaysia (USM), turut membantu menjayakan pembangunan inovasi berkenaan
Bukti usia muda bukan penghalang untuk hasilkan inovasi
Kejayaan kumpulan InnovateZ membuktikan bahawa pelajar sekolah juga mampu menghasilkan idea yang mempunyai nilai dan potensi untuk memberi manfaat kepada masyarakat.
Lebih daripada sekadar kemenangan pertandingan, usaha tiga pelajar MRSM Bagan Datuk ini turut memperlihatkan kepentingan meneroka bidang STEM sejak di bangku sekolah.
Semoga pencapaian Ayatul ‘Izzah, Hannah Nasuha dan Nur Fareeha menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk berani mencuba, berkongsi idea serta menghasilkan inovasi yang mampu membawa perubahan positif.
Tahniah kepada kumpulan InnovateZ dan seluruh warga MRSM Bagan Datuk atas kejayaan membanggakan ini!
Sumber: Facebook Pejabat Pendidikan Daerah Bagan Datuk / MRSM Ulul Albab Bagan Datuk
