Pilihan Editor

10 Jenis Biskut Raya ‘Evergreen’ Yang Tak Lapuk Ditelan Zaman

146
SHARES

Setiap kali tibanya Syawal, pasti ramai orang teruja untuk membuat pelbagai perkara. Bermula dari membeli-belah barangan raya seperti baju sehinggalah menghias rumah. Selain itu, biskut raya juga adalah perkara paling penting yang selalu ada disetiap rumah sepanjang hari raya. Ada sesetengah dari mereka yang membuat sendiri biskut raya malah ada juga yang hanya membelinya di kedai. Pastinya setiap kali raya, menu untuk biskut raya setiap tahun bertambah. Ini kerana ada sahaja pelbagai biskut raya yang baru diperkenalkan setiap kali tibanya Syawal.

Walaubagaimanapun, datanglah pelbagai biskut raya moden dan berbagai resepi, biskut raya lama antara yang tetap menjadi pilihan utama orang ramai. Ini kerana ada yang menjadikan biskut raya ini menu wajib yang dihidangkan ketika raya dan ada yang tidak mahu lupakan biskut itu sendiri. Hidangan biskut raya evergreen ini juga seperti menggamit kenangan raya dulu dulu. Biskut raya yang tak lapuk dek zaman! Mari kita lihat antara 10 biskut raya evergreen yang masih menjadi pilihan!

Biskut Raya Evergreen

1. Biskut Bangkit Kelapa

Biskut bangkit ini antara yang selalu menjadi pilihan untuk dihidangkan kerana teksturnya sendiri dan rasa bangkit itu yang menjadikan biskut ini masih digemari sehingga sekarang. Apabila dimakan, biskut ini akan cair dimulut! Itu yang menjadikan biskut bangkit kelapa ini lebih istimewa. Lebih lebih lagi yang datang dari Melaka, pasti sedap! Dihasilkan dalam pelbagai bentuk dan berwarna putih, bangkit ini antara biskut yang sering dijual di pelbagai kedai kerana ramai yang masih mencari bangkit ini tidak kira waktu.

2. Biskut Putu Kacang

Antara yang menarik perhatian dan juga kegemaran ramai adakah biskut putu kacang. Siapa saja tak tahu kan biskut ni? Biskut yang diperbuat dari kacang ini mempunyai bentuk yang menarik selain juga hiasan bunga dibahagian atas itu membuatkan biskut ini lebih menarik. Pasti menjadi pilihan penggemar kacang.

3. Agar Agar Kering

Diperbuat dengan pelbagai warna, agar agar kering ini merupakan antara hidangan yang evergreen! Pasti mereka yang baru mengetahui mengenai agar agar kering ini menganggap yang biskut ini antara yang dimodenkan, tetapi sebenarnya bukan. Tanyalah ibu bapa anda, pasti mereka tahu agar agar kering ini. Masih menjadi perhatian untuk dihidangkan, ianya lebih menarik perhatian kanak kanak ketika beraya kerana tekstur dan warnanya yang seakan kudapan khas buat kanak kanak.

4. Batang Buruk

Seterusnya ialah biskut batang buruk. Nama sahaja sudah membuatkan orang tertanya bentuk dan rasa biskut ini. Kerana teksturnya dan bentuknya menjadikan biskut ini diberi nama sebegitu. Cara pembuatannya yang unik juga menjadikan biskut ini masih digemari. Juga antara pilihan utama untuk dihidangkan ketika raya, batang buruk adalah antara yang biskut tak lapuk dek zaman kerana dari yang kecil hinggalah yang tua pasti suka akan biskut ini! Pasti jika ditanya tentang biskut ini, atuk dan nenek kita akan kenal.

5. Biskut Makmur

Kebanyakan orang akan bertukar biskut makmur ini dengan biskut arab, ini kerana dua biskut ini mempunyai bentuk yang lebih kurang. Tapi yang bezanya ialah biskut makmur ada isi kekacang didalam dan biskut arab tiada isi. Perbezaan itu membuatkan orang ramai lebih memilih biskut makmur kerana rasanya yang pelbagai dan teksturnya yang lembut itu, disalut lagi dengan tepung membuatkan ianya tambah menarik!

6. Bunga Cina

Pasti ramai yang keliru antara biskut bunga cina dan biskut dahlia. Sebenarnya biskut ini adalah biskut yang sama cuma mempunyai nama yang berbeza bergantung pada orang yang panggilnya. Ianya dipanggil Dahlia kerana bentuk biskut itu sendiri seperti seakan bunga dahlia dan berwarna kuning dan bunga cina lebih kepada warna putih. Biskut ini boleh dikatakan wajib ada disetiap rumah ketika raya dan teksturnya yang cair dimulut ketika makan buatkan orang makin memilih biskut ini.

7. Biskut Suji

Siapa saja tak tahu biskut suji? Sebut sahaja biskut suji pasti ramai sudah tahu akan bentuk dan teksturnya. Biskut suji ini juga antara biskut yang boleh dikatakan wajib ada disetiap rumah ketika raya. Bentuknya yang bulat dan diletakkan ceri sepotong diatasnya membuatkan biskut suji ini menjadi perhatian penggemar biskut raya.

8. Biskut Dam

Antara biskut raya yang unik dan masih relevan sehingga sekarang adalah biskut dam. Bentuk dan warnanya seperti papan dam membuatkan biskut ini menarik dan digemari ramai. Cara pembuatannya yang remeh menjadikan biskut ini juga antara biskut evergreen yang mahal tetapi masih dimahukan. Dipotong menggunakan benang dan disusun mengikut selang warna, biskut dam ini memerlukan ketelitian yang tinggi bagi menghasilkan sekeping biskut dam yang enak dan cantik!

9. Buah Rotan

Bila disebut sahaja buah rotan pasti ada sesetengah dari orang zaman sekarang tidak tahu, tetapi jika diletak buah rotan ini didalam balang, pasti ianya menjadi rebutan ramai. Ada yang memanggilnya biskut bebola bijan, teksturnya yang rangup dan berbentuk bulat itu membuatkan ramai yang seakan leka jika mula mengunyah buah rotan ini. Ianya juga merupakan pilihan yang sangat menarik untuk setiap rumah ketika hari raya. Buah rotan ini juga asalnya dari zaman nenek moyang kita dan ia antara biskut raya yang agak lama tetapi kekal relevan sehingga sekarang.

10. Kuih Loyang

Ini adalah antara yang tetap menjadi pilihan sepanjang raya! Diberi nama kuih loyang, malah ada juga yang memanggilnya kuih rose dan ini kerana kuih loyang ini dihasilkan dalam bentuk bunga rose. Sangat cantik dan sedap! Kuih loyang ini juga seringkali menjadi kudapan seperti keropok kerana kerangupan ianya sendiri. Dihasilkan dari zaman nenek moyang kita dahulu, kuih loyang ini tetap diminati oleh semua orang tidak kira lapisan umur!

Itu dia antara 10 pilihan biskut raya evergreen yang masih diminati dan tidak pernah langsung dilupakan walaupun munculnya biskut-biskut raya moden pada zaman sekarang. Percayalah! Resepi lama atau tradisional merupakan resepi terbaik buat semua orang!

Selamat Hari Raya Aidilfitri Diucapkan kepada semua!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×