Percutian

Ingat Bercuti Ke Sabah, Rupanya Dapat ‘Surprise’ Ke Maldives. Bajet RM3358, 5H4M All-In. Romantik!

2.6K
SHARES
tips bercuti di maldives

Sejak Airasia menawarkan penerbangan pertama ke Maldives pada akhir tahun 2015, lokasi tersebut kian mendapat perhatian rakyat Malaysia terutamanya mereka yang inginkan percutian bertemakan pulau dan pantai yang indah.

Di sini kami kongsikan sedikit coretan Cikpuan Nor Azlin, yang lebih mesra dengan panggilan Alink. Menariknya, ini adalah trip kejutan hari jadi buat suaminya, Hafiz. Awalnya, mereka bercadang ke Sabah, tetapi Alink yang menguruskan tiket dan penginapan telah membuat perancangan untuk meraikan percutian mereka di Maldives. Mereka berada di sana selama 5 hari 4 malam, iaitu pada 15 Oktober hingga 20 Oktober 2017. Sweet sangat, kan?

Mari kita ikuti perkongsian beliau selanjutnya di bawah ini.

Serba Sedikit Tentang Maldives

Kalau yang pernah survey tentang Maldives, di sini terdapat 1192 buah pulau, di mana 200 buah pulau sahaja yang didiami manusia. Untuk menginap di Maldives, anda boleh pilih untuk menginap di 3 buah pulau utama iaitu Hulhumale, Male, dan Maafushi (ini untuk jimatlah). Kalau bajet lebih banyak, anda boleh memilih mana-mana private island yang kena dengan bajet anda.

Adaaran Pristage Vadooo, sebuah pulau persendirian yang sinonim dengan pemandangan di Maldives. Walaupun tak dapat bermalam, dapat melawat seharian pun dah bersyukur sangat. Kos penginapan 1 malam lebih kurang 3k.

3 Pulau Utama Di Maldives

Hulhumale adalah pulau di mana terletaknya lapangan terbang utama, iaitu Velena International Airport. Di situ juga ada bandar kecil dan pantai yang cantik. Anda boleh menggunakan bas / teksi dengan kadar yang murah di sana.

Male pula adalah pulau yang terletaknya pusat Kerajaan Maldives. Bandar ini agak padat dan sibuk dengan pelbagai sektor perikanan dan lain-lain. Agak serabut sedikit di Male, jalanrayanya sempit dan sesak.

Maafushi pula adalah pulau yang penuh dengan hotel yang sesuai untuk backpackers macam Alink. Maafushi tak sunyi, ada pelbagai fasiliti seperti sekolah, bank, masjid, dan kedai makan. Di Maafushi penuh dengan penduduk dan pekerja pekerja yang mesra alam dan bagi Alink, Maafushi adalah pilihan terbaik untuk kita berkenalan dengan pelancong dari negara negara lain. Maafushi ada bikini beach yang membolehkan pelancong memakai bikini di kawasan pantai. Buat pengetahuan, Maldives adalah negara Islam dan 98% penduduk mereka beragama Islam. Jadi, sebab itulah bikini hanya dibenarkan di private island atau di bikini beach sahaja.

No bikini beach

Perbezaan Waktu Maldives – Malaysia

Beza waktu Malaysia dengan Maldives adalah Maldives lebih lewat 3 jam berbanding Malaysia.

Waktu Subuh di sini sekitar jam 3 pagi, dan anda pasti akan dapat tidur yang berlebihan di sini sebab Malaysia dah pukul 7 pagi tapi di Maldives masih 4 pagi. Anda pun berkemungkinan besar akan berasa mengantuk awal sebab pukul 12 malam di Malaysia baru pukul 9 malam di Maldives. Hehe.

Matawang Di Maldives

Matawang Maldives adalah Rufiyaa (MVR) tapi kebanyakan urusan perniagaan dijalankan dgn matawang USD terutamanya jika dengan pelancong. Ada sesetengah tempat menggunakan matawang Rufiya, sesetengah lagi USD. Jadi anda kena sediakan duit USD dan juga Rufiya.

Untuk penukaran matawang, USD boleh terus ditukar dari Malaysia manakala Rufiyaa boleh terus ditukar dari kaunter pertukaran wang asing di Velana Airport Maldives. Sebaik saja keluar dari Imigresen, terus belok kiri.

Alink nasihatkan tukar dalam 50USD saja untuk matawang Rufiya. Tempoh hari kami tukar 100USD yang bersamaaan dengan 1500MVR (Rufiyaa). Kami cuma gunakan 116 Rufiyaa saja. Jenuh nak tukar ke USD semula sebab kena tunjuk resit pertukaran yang mula-mula tadi. Kalau resit hilang, sorry to say lah.

Perbelanjaan Di Malaysia

Penerbangan dan hotel sudah ditempah secara online dari Malaysia. Waktu promosi Airasia. Hotel pula Alink tempah melalui Agoda.com. Kalau nak murah, tempah waktu tengah malam, sekitar jam 1-3 pagi.

Ini adalah jumlah perbelanjaan untuk tiket penerbangan.

 

Penerbangan Kota Bharu-KL

RM 49 x 2 org
Check-in beg seorang RM 28
…………………………..
Jumlah : RM 126

Penerbangan KL-MALE

RM 396 x 2 org
Check-in beg seorang RM 78
Select seat RM 7 x 2
……………………………
Jumlah : RM 884

Penerbangan MALE-KL

RM 495 x 2 org
Check-in beg seorang RM 78
Select seat RM 7
……………………………
Jumlah : RM 1075

Penerbangan KL- Kota Bharu

RM 49 x 2 org
Check-in beg RM 28.00
…………………………….
Jumlah : RM 126

 

Penginapan

Hotel Newtown In Hulhumale ( 1 night with breakfast )
……………………
RM 242.16

Hotel Crystal Sand ( 3 nights, no breakfast )
…………………….
RM 1,125.93

Jumlah perbelanjaan hotel dan tiket penerbangan adalah RM 3,579.09 untuk 2 orang.

Itinerari di Maldives

Hari Pertama : 15 Oktober 2017 ( Ahad )

Sesampainya kami di Velana Airport, terus tukar duit. Kami beli simcard Dhiraggu yang berharga 30USD untuk 2 simcard.
Kedai simcard terletak berdekatan dengan tempat tukar duit.

Kemudian, naik local bus 40 MVR (Rufiyaa) untuk 2 orang dan terus ke hotel Newtown Inn (bus stop terakhir). Bus stop ke Bandar Hulhumale  terletak di luar airport berhadapan dengan Jetty Speedboat Airport. 

Bagi yang nak terus ke Maafushi pon boleh terus naik speedboat dari Airport ke Maafushi. Jangan risau, malam pun masih ada speedboat lagi. Cuma mengikut apa yang Alink dengar, kalau malam harganya 35USD satu kepala berbeza dengan 25USD pada waktu siang. Malam pertama di Maldives, kami menginap di Hulhumale. Badan pun dah penat, kami makan maggi saja.

Hari Kedua : 16 Oktober 2017 ( Isnin )

*Sarapan – Dah termasuk dalam pakej Hotel Newtown Inn.

*Kami ambil local taxi ke Jetty Hulhumale ( 25 MVR ). Pakcik pemandu tu memang jujur dan amanah. Ini nombornya 093359090 .

*Feri dari Hulhumale ke Male 5.5 MVR seorang, dua orang maksudnya ( 11 MVR ).

*Dari Jetty Male kami gunakan perkhidmatan teksi lagi ke Bangkok Jetty, dimana kita boleh naik speedboat ke Maafushi. Tambang teksi di Male ‘cekik darah’ sikit sebab kami bawa banyak beg katanya ( 40 MVR )

*Kami terpaksa naik speedboat sebab hari Isnin tu feri pukul 3 petang baru jalan. Harga tambang speedboat ( 50 USD ) untuk 2 orang manakala kalau naik feri 2 USD saja seorang.  Tapi naik speedboat 45 minit dah sampai Maafushi, kalau naik feri pula 2 jam.

*Sesampainya ke Jetty Maafushi, staf Hotel Crystal Sand datang angkat beg kami dan kami diberi ice lemon tea sambil diterangkan pakej excursion yang hotel tawarkan. Harganya 360USD untuk 2 orang dan memang inilah harga paling murah sebab Alink dah survey pakej di hotel lain. Pakejnya termasuk snorkeling, night fishing, sandbank visiting, candle light dinner, water sport macam parasailing, jetski, funtube dan lain-lain lagi selama 4 hari. Siap dapat FREE AIR PORT TRANSFER dan FREE DINNER BUFFET.

*Petang tu sepatutnya kami buat water sport tapi jetski under maintainance. Jadi kami diajar berjinak-jinak dengan air laut. Dia guide kami snorkeling tepi pantai yang tenang. Seronok!

*Malam tu juga kami diberi makan malam percuma oleh Crystal Sand Hotel.  Hotel ni memang cool dan supportive! Syukur Alhamdulillah…

Jetski dari Maafushi ke sandbank ambil masa sekitar 10 minit. Seram juga sebab ombak agak besar.

Hari Ketiga : 17 Oktober 2017 ( Selasa ) 

*Sarapan pagi kami masak sendiri.

*Half Board Snorkeling Trip ( 9 pagi – 3 petang )
– Snorkeling Giri Point , Nemo Point , Stringray & Turtle Point
– ‎ Makan tengah hari di sandbank
– FREE Go Pro Photography

*Kemudian balik Maafushi semula dan berehat sekejap.

*Petangnya kami main jetski dan dibawa ke sand bank buat kali kedua. Tapi kali ini sand bank yang bersambung dengan Cocoa Resort 5 star. Wow, so fantastic babe!

*Malamnya, ada Special Candle Light Dinner yang menunya cukup lazat. Seronoknya makan tepi pantai dengan angin pantai yang sejuk. Ini menunya.

: Mixed Vegetable Salad
: Fruit Salad
: Mushroom Soup
: Beriyani Rice
: Prawns ,Lobster, Fish Steak , Cuttlefish
: Jus mangga
: Aiskrim Cornetto

*Tak cukup dengan itu, hotel ada juga buat kejutan untuk Hafiz, mereka hantar Brownies Ice Cream Cake dan Vanilla Hot Chocolate ke bilik. Aduh, memang sweet sangat Hotel Crystal Sand ni.

Candle light dinner yang disediakan oleh pihak hotel.

Kejutan dari pihak hotel. Sweet sangat!

Hari Keempat : 18 Oktober 2017 ( Rabu ) 

*Disebabkan kami dah nak balik esok malam, jadi kami cancel Full Day Snorkeling Trip kami dan ganti dengan Visiting Private Island. Pulau pilihan kami adalah *Adaaran Prestige Vadoo Resort ( 5 stars ).

*Seorang sepatutnys 120 USD, tapi kami perlu tambah 80 USD sahaja  sebab kami tolak Full Day Snorkeling Trip tadi.

Bayaran meliputi :

  • Tax
  • Pengangkutan
  • Unlimited drink
  • Lunch
  • Hi Tea
  • Tuala
  • Guna swimming pool
  • Snorkeling kawasan resort, tapi peralatan boleh minta dengan hotel di Maafushi tadi. Jangan lupa bawa ya.

*Kami lepak di private island sejak jam 7.45 pagi sampai 6.00 petang. Memang syok habis.

*Malam terakhir kami, sekali lagi Crystal Sand bagi kami berdua makan Dinner Buffet dengan percuma. Memang terharu sangat. Tak pernah dapat layanan terbaik macam ni.

*Lepas makan malam, kami dibawa buat night trekking sambil suluh baby shark dan stringray di pesisiran pantai. Dapat keliling satu Maafushi. Sangat best!

 

Hari Kelima : 19 Oktober 2017 ( Khamis )

*Pagi ini kami makan sarapan di sekitar Maafushi. Nak juga merasa menu special yang kerapkali dishare dalam itinerari orang lain bila ke Maldives. Kami makan di Harbour Cafe.

*Lepas makan, kami buat aktiviti air Funtube yang masih ada dalam pakej hotel tempoh hari.

*Kemudian kami berehat dan cari souvenir kawasan Maafushi ( 90 USD ) kami shopping. Ikutkan kami nak check out pukul 12 dan nak cari souvenir di Hulhumale, dengar kata macam lagi murah. Tapi manager hotel, Encik Ibrahim macam susah nak lepaskan kami, siap bagi kami late check out. Memang terharu tahap nak menangis. Marie, Afson, Navin, Reef, semua Tarangga staf hotel yang banyak guide kami. Suka menyakat kami tak habis-habis, memang susah nak say goodbye sebab mereka baik sangat.

*Jam 5.00 petang speedboat sampai dan kami dapat FREE SpeedBoat Airport Transfer sperti mana dalam pakej hotel tawarkan pada kami.

*Flight kami malam tu pula delay. Sepatutnya jam 8.55 malam, tapi delay hingga 10.45 malam waktu Maldives. Fuh.. Sempat juga kami ronda airport, makan Burger King ( 20 USD ) sebelum flight smpai. Kami tiba di Malaysia tepat jam 6.15 pagi dan terus ke flight domestik balik ke Kota Bharu.

Pulau Maafushi

Perbelanjaan Di Maldives

: 730 USD
: 115.50 MVR ( lebih kurang 8 USD )

730 + 8 USD = 738 USD

738 x 4.25 ( current money changer exchange )

RM 3136.50 ( belanja di Maldives )
RM 3579.09 ( belanja di Malaysia )

JUMLAH KESELURUHAN : RM 6715.59 untuk 2 orang selama 5 hari 4 malam. Atau lebih kurang RM 3358 seorang termasuk penginapan dan tiket penerbangan.

Kalau datang ramai, bilik boleh kongsi dan cuma tambah extra bed. Water sport activity boleh dapat lebih murah.

Ada juga hotel yang lebih murah daripada Crystal Sand. Alink cadangkan untuk ambil pakej dengan Icom, iaitu sejenis perkhidmatan excursion activities, speedboat dan lain-lain. Lokasinya bersebelahan dengan Crystal Sand. Harganya lebih murah. Tapi kalau nak mudah boleh terus pilih Crystal Sand, memang pakej yang ditawarkan amat berbaloi.

 

Tips Tambahan

*Kalau nak jimat ke Maldives, paling penting adalah grab tiket murah. Boleh beli setahun awal atau masa promosi. Paling murah Alink tengok setakat ini RM304. Kena ada duit simpanan, bila ada peluang tiket murah nanti boleh terus beli.

*Satu lagi tips, bawalah makanan sendiri kalau nak save duit. Macam kami berdua, bawa sekali rice cooker, makanan dalam tin, sambal daging, timun dan budu dari Kelate. Biskut dan maggi pun ada termasuklah pinggan, gelas, dan sudu. Harga makanan di Maldives boleh tahan juga harganya. Jadi, save duit dulu, tengok hari-hari terakhir kalau ada banyak lebih lagi, bolehlah makan sedap-sedap.

*Plug point di Maldives sama macam di Malaysia. Jadi, tak perlu risau ya!

 

**Perkongsian pengalaman dan tips ke Maldives ini disumbangkan oleh Cikpuan Nor Azlin dan ia diterbitkan semula dengan kebenaran beliau. Untuk sebarang pertanyaan dan tips lanjut, boleh follow FB beliau di SINI.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×