1-2 Tahun

5 Tips Ubah Anak Yang Pemalu ‘Tak Bertempat’ Supaya Lebih Berani

293
SHARES

“’Best’nya rasa kalau anak aku ni dah boleh buat macam-macam perkara. Tapi tengok dia macam belum ada keyakinan diri nak buat banyak benda. Apa tips untuk tingkatkan keyakinan diri anak yang pemalu macam dia ni ya?”

Melihat perkembangan anak kecil berumur 1 atau 2 tahun yang semakin bijak setiap hari, pasti kita berasa sangat teruja dan terfikir alangkah seronoknya jika anak sekecil ini dapat melakukan pelbagai perkara seperti kanak-kanak berumur 4 atau 5 tahun.

Namun, kita mungkin tidak pasti sama ada sudah tiba atau belum sampai masanya untuk kita mula mengajar anak kecil ini melakukan sesuatu perkara itu kerana mereka kelihatan pemalu dan seperti belum mempunyai keyakinan diri.

Bolehkah anak sekecil ini dilatih untuk menjadi lebih berani dan mempunyai keyakinan diri?

Foto Kredit : zdrowemaluchy.pl

Foto Kredit : zdrowemaluchy.pl

Bina Keyakinan Diri Anak Sejak Kecil

Sebagai ibu bapa, kita pasti mahukan sesuatu yang terbaik untuk anak. Melihat anak menjadi yang terbaik dalam pelbagai perkara merupakan impian setiap ibu bapa.

Tetapi, untuk menjadi yang terbaik, keyakinan diri anak seharusnya dibina sejak kecil. Mereka perlu dilatih dan dididik untuk melakukan pelbagai perkara sejak kecil lagi agar mempunyai keyakinan diri yang tinggi apabila mereka menginjak ke alam kanak-kanak, remaja dan dewasa kelak.

Foto Kredit : bladna.nl

Foto Kredit : bladna.nl

5 Tips Ubah Anak Yang Pemalu Supaya Lebih Berani

Ibu bapa mana yang tidak mahu melihat anak mempunyai keyakinan diri yang tinggi, bukan? Berikut merupakan 5 tips untuk membina keyakinan diri anak kecil yang ‘pemalu tak bertempat’ ini.

1. Benarkan Anak Buat Perkara Yang Diingini

Pernahkah kita mengalami situasi anak kecil ingin melakukan sesuatu perkara sendiri seperti makan sendiri, menguruskan diri mereka sendiri, mengangkat pinggan dan cawan sendiri ke meja makan, atau membantu melakukan kerja-kerja rumah yang mudah? Sesetengah ibu bapa mungkin akan mengatakan ‘jangan’ atau ‘tidak boleh’ kerana tidak mahu keletihan mengemas sekiranya keadaan menjadi bersepah apabila anak kecil ini melakukan perkara tersebut.

Selagi perkara tersebut tidak berbahaya untuk anak kecil, apa salahnya benarkan mereka belajar melakukan perkara yang diingini itu? Ianya sudah pasti dapat membantu proses membina keyakinan diri anak kecil ini. Walaupun kita berasa penat untuk mengemas pada awalnya, tetapi kepenatan itu merupakan kepenatan yang berbaloi apabila kita melihat mereka semakin yakin diri kelak.

Foto Kredit : bellasentials.com

Foto Kredit : bellasentials.com

2. Buat Perkara Baru Dengan Anak

Sesekali, lakukan perkara atau aktiviti baru yang tiada dalam rutin harian anak kecil. Sikap ingin tahu dan suka meneroka pasti akan membuatkan anak kecil ini berasa teruja untuk melakukan perkara tersebut bersama-sama kita.

Dengan cara ini, mereka bukan sahaja dapat mempelajari perkara baru daripada kita, malah dapat membina keyakinan diri mereka di awal usia.

Foto Kredit : univision.com

Foto Kredit : univision.com

3. Benarkan Anak Buat Keputusan

Pada kebiasaannya, kita sebagai ibu bapa yang akan membuat keputusan untuk anak kecil. Dalam hal-hal tertentu yang tidak memberi impak yang besar, benarkan anak untuk membuat pilihan dan keputusan. Ibu bapa boleh membantu anak untuk membuat keputusan dengan cara menjelaskan kepada mereka tentang apakah yang akan berlaku sekiranya mereka mengambil keputusan tersebut.

Anak kecil akan belajar tentang kesan daripada pilihan atau keputusan yang dibuat itu. Pada awalnya, mungkin anak sekecil ini agak sukar untuk memahami kesan dan akibat daripada pilihan yang dibuat. Tetapi, lama kelamaan, pasti anak kecil ini akan dapat berfikir dengan baik, lebih memahami dan berasa lebih yakin apabila keputusan yang dibuat itu memberikan hasil yang positif.

Foto Kredit : recruiter.com

Foto Kredit : recruiter.com

4. Sokong Minat Anak

Setiap individu mempunyai minat dan kegemaran yang tersendiri. Begitu juga dengan anak yang pemalu ini. Beri sokongan kepada anak terhadap perkara yang diminatinya itu.

Sebagai contoh, sekiranya anak minat mewarna, belikan mereka buku mewarna serta bahan-bahan untuk mewarna seperti krayon, pensel warna atau warna air. Luangkan masa untuk mewarna bersama mereka serta ajarkan mereka teknik-teknik mewarna dengan cantik untuk menghasilkan lukisan yang menarik.

Dorongan dan sokongan daripada ibu bapa seperti ini akan dapat meningkatkan lagi keyakinan diri mereka untuk melakukan yang terbaik dalam perkara yang diminatinya.

anak yang pemalu

Foto Kredit : mibebeyyo.com.mx

5. Pujian Buat Anak

Kejayaan anak kecil dalam melakukan sesuatu perkara seharusnya diraikan dengan pujian. Pujian dapat meningkatkan lagi penghargaan kendiri (self esteem) anak yang pemalu, membuatkan mereka berasa lebih gembira dan dihargai.

Jangan pernah berasa jemu dan bosan untuk memuji kejayaan anak kecil. Selepas ini, pasti mereka semakin bersemangat dan lebih yakin untuk melakukan lebih banyak lagi perkara baru!

anak yang pemalu

Foto Kredit : mojok.co

Percaya Pada Anak Kecil

Tanamkan rasa percaya terhadap kebolehan si kecil untuk melakukan sesuatu perkara. Usah memandang rendah terhadap kemampuan mereka. Walaupun mereka masih kecil dan bersikap pemalu, mereka tetap mempunyai keinginan yang tinggi untuk mencuba perkara-perkara baru bagi membina keyakinan diri mereka.

Semoga dengan didikan awal untuk melakukan berbagai-bagai tugasan, anak kecil ini bukan sahaja akan membesar menjadi insan yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi serta berani, malah berfikiran cerdas dan matang dalam menguruskan pelbagai perkara apabila dewasa kelak.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×