Rakyat

Se’hipster’ Mana Pun Baju Raya Kita, Inilah Asal-Usulnya

172
SHARES

Lebaran hampir tiba. Inilah saatnya untuk kita memperagakan pakaian tradisional secara lengkap dan penuh anggun sedondon bersama dengan keluarga tersayang. Tahun demi tahun, fesyen baju raya berevolusi dengan rekaan dan potongan yang semakin moden serta ditambah dengan pelbagai elemen baru.

5 Fakta Tentang Sejarah Baju Melayu & Baju Kurung

Sejauh manakah pengetahuan kita terhadap sejarah baju Melayu dan baju kurung kita? Berikut adalah beberapa fakta tentang pakaian tradisional kita yang mungkin ramai tak pernah tahu.

1. Diperkenalkan Oleh Sultan Melaka

Pemakaian baju kurung diperkenalkan oleh Sultan Melaka dan dikuatkuasakan oleh Sultan Muhammad Syah 700 tahun yang dahulu. Pada ketika itu pakaian lelaki dan perempuan dikenali sebagai baju kurung.

Pada awalnya, rekaan baju kurung adalah agak singkat dan ketat, baik untuk lelaki mahupun perempuan.

sejarah baju melayu

Sumber ilustrasi dari Pinterest

sejarah baju melayu

Sumber ilustrasi dari Pinterest

2. Dimodenkan Rekaannya Oleh Sultan Johor

Sultan Abu Bakar mengambil kesempatan untuk melakukan sedikit modifikasi dalam rekaannya yang masih kekal sehingga ke hari ini. Baginda bertindak sedemikian kerana mahukan rakyat Johor berpakaian kemas dan penuh santun.

Baginda jugalah yang memperkenalkan baju melayu teluk belanga iaitu dengan jahitan kemas di kolar bulat beserta satu butang. Baju melayu cekak musang pula diperkenalkan oleh Sultan Ibrahim ibn Sultan Abu Bakar yang menggayakan baju melayu dengan potongan kolar leher menegak dengan lima butir butang.

sejarah baju melayu

Foto Kredit: Zubaidah Sual / Astro Awani

3. Baju Melayu Dikaitkan Dengan Simbolik Agama Islam

Setiap bahagian rekaan baju melayu mempunyai maksudnya yang tersirat. Menurut sejarahwan Azah Aziz, 5 butir butang pada cekak musang melambangkan 5 rukun Islam yang menjadi tuntutan bagi setiap umat.

6 pesak di bahagian kiri dan kanan baju pula mewakili 6 rukun Iman yang menjadi panduan umat Islam, manakala 3 buah poket di baju melambangkan 3 tuntutan dalam Islam iaitu Islam, Iman dan Ihsan.

Foto Kredit: dawn.com

4. Cara Pakai Samping Pun Ada Maksud Tersendiri

Busana baju Melayu tidak lengkap tanpa pemakaian kain samping. Baju melayu cekak musang digayakan dengan samping dengan cara menyematkan baju kedalam manakala baju melayu teluk belanga digayakan dengan cara melepaskan baju di luar.

Tahukah anda cara pemakaian samping dapat melambangkan status si pemakai? Hal ini dapat dilihat berdasarkan labuh samping yang dipakai.

Jika si pemakai memakai samping di bawah lutut, itu bermaksud si pemakai sudah berkahwin manakala jika dipakai di atas lutut bermaksud lelaki tersebut masih bujang.

Foto Kredit: Astro Awani

5. Variasi Baju Kurung & Kebaya

Terdapat beberapa rekaan baju kurung yang signifikan dengan negeri-negeri di Malaysia seperti baju kurung Kedah dengan rekaan bajunya yang lebih singkat dan baju kurung Pahang iaitu baju yang berpesak kembang dengan kolar tinggi.

Baju kebaya yang ayu dan direka mengikut potongan badan ini dikatakan berasal daripada imigran Cina yang berhijrah ke Tanah Melayu suatu ketika dahulu. Selain baju kebaya yang biasa digayakan oleh wanita Malaysia dan Indonesia, terdapat beberapa jenis rekaan kebaya yang telah diolah dan dipakai oleh masyarakat tempatan. Contohnya baju belah kebaya panjang yang berasal dari Johor. Rekaan kebaya ini lazimnya dipakai oleh kerajaan Johor-Riau pada zaman kegemilangannya. Kebaya ini direka dengan labuh sehingga ke buku lali dan bahagian hadapannya pula berbelah dan berpesak perlu disemat dengan kerongsang.

Jenis kebaya lain ialah kebaya nyonya yang terkenal dalam kalangan kaum Baba Nyonya Melaka dan diperbuat daripada fabrik kasa rubia yang sedikit jarang dan ringan. Selain itu ada kebaya Kota Bahru dengan rekaan yang berkancing depan dan mirip dengan kebaya pulau Jawa iaitu kebaya Kutu Baru.

Foto Kredit: gambarberkata.com

Tak Luput Ditelan Zaman

Walaupun kian banyak fesyen baru yang dikeluarkan saban tahun, baju kurung masih menjadi pilihan utama wanita sehingga ke hari ini kerana rekaannya yang selesa dan fleksibel serta sopan untuk apa jua majlis. Pakaian ini merupakan pakaian rasmi wanita ketika itu dan dikekalkan sehingga kini. Hal ini dapat dilihat dengan pemakaian baju kurung di acara rasmi, protokol di istana dan penjawat-penjawat awam kerajaan.

Pemakaian busana tradisional bukanlah dianggap sebagai ketinggalan zaman namun melambangkan identiti budaya. Secara tidak langsung, tradisi sejak beratus tahun lamanya ini dapat diteruskan.

Jadi, tak kisahlah ‘hipster’ macam mana pun design baju raya kita tahun ini, yang penting kita tahu sedikit sebanyak tentang asal usul kita.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×