Dapur

Resepi Rendang Ayam Simple Tapi Bukan Main Sedap. Kena Cuba Raya Nanti!

13.6K
SHARES

Hari Raya memang tak lengkap kalau tak ada rendang sebagai hidangan. Tapi, tak semua orang pandai buat rendang. Katanya leceh dan selalu tak menjadi.

Sebenarnya kalau tahu caranya, memasak rendah bukanlah susah sangat. Cuma mungkin banyak sikitlah bahan yang diperlukan. Tapi bahan-bahan ini amat mudah didapati di kedai atau pasaraya. Jadi, apa kita kita cuba buat rendang sendiri untuk raya kali ini? Mesti seronok kalau dapat hidangkan air tangan sendiri di pagi raya nanti.

Kali ini, kita ikuti perkongsian resepi daripada Puan Nurul Azfa Azizan. Tengok gambar saja dah terliur, mesti rasanya sedap hingga menjilat jari!

Resepi Rendang Ayam Yang Simple Tapi Menyengat!

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan-bahan

  • 1 ekor ayam
  • Sekilo santan
  • 4 sudu besar kerisik
  • 6 bawang merah
  • 8 bawang putih
  • halia
  • 1 sudu besar jintan
  • 1/2 sudu lada hitam
  • Sedikit ketumbar
  • 3 sudu rempah kari
  • Minyak untuk menumis
  • 1 keping asam keping
  • Sedikit buah pelaga
  • Sedikit bunga cengkih
  • Sedikit bunga lawang
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa

Antara bahan yang diperlukan.

Bahan Kisar

  • 20 tangkai cili kering
  • 5 biji bawang besar
  • 5 biji bawang putih
  • 2 inci kunyit hidup
  • 4 batang serai
  • 3 inci halia
  • 3 inci lengkuas
  • 1 sudu besar jintan
  • 1/2 sudu lada hitam
  • Sedikit ketumbar

Cara-cara

1. Tumis

Mula-mula, tumis bawang merah, bawang putih dan halia yang dihiris. Tunggu hingga naik bau.

Kemudian, masukkan bahan dikisar.

Antara bahan yang dikisar

2. Masukkan Asam Keping

Bila bahan tadi dah naik bau dan pecah minyak, masukkan pula asam keping.

3. Masukkan Rempah Kari

Seterusnya, masukkan 3 sudu rempah kari.

4. Masukkan Kerisik & Santan

Selepas itu, masukkan pula 4 sudu besar kerisik. Kerisik ini memberi rasa klasik pada rendang. Kalau tak ada, macam tak kenalah masakan rendang tradisional kita.

Kerisik ini dibuat daripada kelapa parut segar yang digoreng tanpa minyak dan ditumbuk sehingga menjadi pes yang pekat, kasar dan berminyak. Orang dulu-dulu buat kerisik sendiri, tapi sekarang dah mudah nak dapatkan kerisik yang dah siap dijual dalam bentuk paket di kedai.

Bila dah semua bahan dah bersatu, masukkan sekilo santan ke dalam kuali tadi.

5. Masukkan Ayam

Sekarang dah boleh masukkan ayam. Biarkan sehingga ayam agak kecut dan kering airnya.

6. Perasakan

Terus masak dengan api kecil sehingga pekat dan pecah minyak. Kemudian perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.

Bila kuah dah kering bolehlah ditutup api.

Siap!

Beginilah hasilnya. Memang sedap dimakan panas-panas bersama ketupat, lemang, pulut kuning, atau nasi putih. Aromanya saja sudah membangkitkan selera.

Tak susah kan nak memasak masakan tradisi ini?

Boleh rujuk video di bawah kalau nak tengok demonstrasi yang lebih jelas.

Selamat mencuba.

 

*Resepi asal rendang ayam ini disumbangkan oleh Puan Nurul Azfa Azizan melalui Facebook. Ia disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran. Untuk lebih banyak perkongsian resepi dan tips, follow beliau di SINI.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×