Pantang

Jangan Abaikan 8 Amalan Berpantang Ini Supaya Sihat Luaran & Dalaman

1.3K
SHARES
pakej berpantang

“Penatnya berpantang sendiri. Dahlah nak kena jaga ‘baby’ lagi, suami cuti seminggu je. Nak kena berbengkung, bertungku semua, manalah reti. Tapi, dengar-dengar sekarang dah ada pakej berpantang yang ditawarkan dari rumah ke rumah. Bolehlah cuba nanti…”

Orang zaman sekarang memang ramai yang terpaksa berpantang sendiri. Bukan apa, ada yang tak mahu menyusahkan ibu atau ibu mertua di kampung kerana faktor kesihatan mereka sendiri yang kurang sihat. Ada juga di mana ibu atau ibu mertua mereka terlalu sibuk dan masih bekerja.

Walaubagaimanapun, penjagaan ini adalah perlu untuk mengurangkan gangguan angin dalam badan, menjadikan tubuh si ibu tadi benar-benar sihat dan bertenaga serta stabil dari segi emosi.

pakej berpantang

Foto Kredit: klikdokter.com

Bagaimana Nak Jaga Kesihatan Kalau Berpantang Sendiri?

Dalam era serba moden ini, terdapat pelbagai cara untuk anda mendapatkan rawatan selepas bersalin walaupun terpaksa berpantang sendiri.

Paling penting perlu ada pengetahuan dan keazaman yang tinggi kerana ia memerlukan disiplin.

Antara cara paling mudah untuk membantu anda sepanjang tempoh berpantang ialah dengan mencari perkhidmatan perbidanan profesional yang menawarkan khidmat khusus untuk wanita bersalin.

Kini, terdapat macam-macam pakej berpantang yang boleh anda pilih. Mudah!

Pakej berpantang ini akan menawarkan beberapa perkhidmatan asas yang perlu anda tahu supaya anda dapat memilih mengikut kesesuaian, kemampuan, dan keadaan kesihatan anda.

Yang mana anda boleh buat sendiri, buat saja di rumah. Yang tak boleh, barulah cari orang untuk membantu anda.

Jangan Abaikan 8 Amalan Berpantang Ini Supaya Sihat Luaran & Dalaman

Berikut adalah 8 amalan penjagaan asas selepas bersalin yang penting untuk mengembalikan kesihatan wanita. Aktiviti ini dapat memastikan wanita kembali pulih secara luaran mahupun dalaman.

Biasanya, ia juga merupakan perkhidmatan asas yang terdapat dalam pakej berpantang.

1. Berurut

Tujuan berurut pada amnya adalah untuk membetulkan segala urat supaya dapat melancarkan peredaran darah.

Tetapi, wanita selepas bersalin khususnya perlu berurut untuk mengangkat semula saluran peranakan, menyingkirkan darah kotor atau darah beku yang masih ada dalam rahim, serta membantu memecahkan lemak.

Berurut ini dilakukan selama tiga hari berturut-turut, atau sekurang-kurangnya tiga kali dalam tempoh berpantang.

Foto Kredit: http://www2.hmetro.com.my/articles/Berpantangcaramoden/Article/

Foto Kredit: hmetro.com.my

2. Bertungku

Bertungku perlu dilakukan setiap hari semasa berpantang sebelum memakai bengkung.

Ia membantu mengecutkan rahim dan melancarkan pengeluaran saki-baki darah kotor yang masih ada di dalamnya. Biasanya darah nifas mengalir lebih lancar selepas bertungku.

Sebiji batu tungku yang dipanaskan akan dibalut dengan kain sebelum diletakkan di seluruh bahagian abdomen dan juga sekitar peha.

Untuk kesan yang lebih baik tapak kaki serta tumit juga perlu ditungku.

pakej berpantang

Foto Kredit: nr2u.com

3. Berbengkung

Bengkung umumnya adalah sejenis kain yang dililit pada badan dari paras bawah dada hingga punggung.

Terdapat pelbagai bengkung yang dijual di pasaran kini untuk membantu memudahkan anda memakainya setiap hari semasa berpantang.

Namun, pakej berpantang atau perkhidmatan perbidanan tradisional biasanya akan menggunakan kain bengkung kapas yang bertali supaya ia tidak mudah terbuka.

pakej berpantang

Foto Kredit: hatchedathome.com

4. Mandi Herba

Setelah selesai bertungku dan berurut, biasanya proses ini akan diikuti dengan mandi herba.

Mandian ini akan menggunakan air rebusan daun yang mempunyai khasiat tersendiri. Sebolehnya sepanjang tempoh berpantang, mandian ini diteruskan sekurang-kurangnya selama dua minggu.

Walaupun tinggal di bandar, banyak kedai herba atau pasaraya yang menjual daun-daun herba ini. Ada yang boleh didapatkan dalam set berpantang secara ‘ready-made’ dalam bentuk pek uncang.

Antara daun dan herba yang boleh digunakan adalah

  • daun kunyit terus
  • daun secerek
  • daun pandan
  • daun lengkuas
  • daun serai wangi
  • daun pisang kelat
  • daun capa
  • daun inai
  • daun mengkudu
  • daun sirih
  • rempah halba
pakej berpantang

Foto Kredit: codenamemama.com

5. Bertangas

Bagi ibu selepas bersalin, aktiviti bertangas dapat membantu proses penyembuhan, kemutan faraj dan rahim.

Bukan itu sahaja, herba yang terkandung dalam set bertangas mampu merawat, memperbaiki urat dan juga bahagian sulit wanita yang tercedera semasa proses melahirkan anak.

Amalan ini dilakukan selepas mandi. Bertangas biasanya dibuat dengan menyelubungi seluruh badan dengan kain dari paras leher ke paras lantai supaya wap tangas menyelaputi seluruh badan.

Di zaman moden ini, terdapat kerusi khas untuk bertangas yang dijual di pasaran untuk memudahkan proses ini.

pakej berpantang

Foto Kredit: hmetro.com.my

6. Pilis

Mungkin ramai yang ‘skip’ memakai pilis kerana ianya agak leceh dan tidak selesa kerana sering tertanggal daripada dahi.

Namun, memakai pilis daripada bancuhan herba semulajadi ini sangat digalakkan, terutamanya untuk mengelakkan rasa pening kepala, loya, atau mual.

Kini, terdapat ramuan pilis yang telah diformulasikan dalam bentuk minyak atau sapuan yang lebih selesa untuk anda di rumah.

Foto Kredit: bubblynotes.com

Foto Kredit: bubblynotes.com

7. Jamu Atau Suplemen

Sesetengah wanita yang menyusu badan mengalami kesukaran untuk mengamalkan jamu atau suplemen tambahan kerana risau ianya tidak sesuai untuk bayi baru lahir.

Oleh itu, pastikan anda memeriksa ramuan yang terkandung di dalamnya dan mencuba dalam kuantiti yang sedikit terlebih dahulu.

Makan jamu menyihatkan badan disamping mengembalikan kesegaran ibu di sepanjang tempoh berpantang. Minum air akar kayu turut membantu mengecutkan rahim secara rawatan dari dalam kerana khasiat dari campuran herba akar kayu yang digunakan.

pakej berpantang

Foto Kredit: ibudanbalita.com

8. Hidangan Berkhasiat

Selepas bersalin, pemakanan perlulah dijaga sebaiknya supaya anggota lebih cepat sihat dan kembali aktif.

Pada minggu awal bersalin digalakkan makan makanan yang kering bagi tujuan mengecutkan rahim.

Hidangan yang pedas, gatal, berlemak, air sejuk dan terlalu berminyak tidak elok dimakan.

Tapi, jangan risau kerana sebenarnya banyak hidangan yang boleh dijadikan menu ibu bersalin, dengan cara memasak yang berbeza. Ia tetap sedap walaupun dimasak dengan cara dipanggang, direbus atau dikukus.

Lada hitam , halia, serai, asam gelugur dan rempah ratus adalah sebagai perisa yang berkhasiat dan dijadikan aroma serta membangkitkan selera makan ibu.

Apa yang nyata, ibu perlu mengurangkan pengambilan lemak, gula dan minyak yang berlebihan.

Amalan Berpantang Mengembalikan Kesihatan Wanita

Melahirkan anak adalah proses yang besar untuk wanita dari segi fizikal dan emosi. Maka, sebab itulah aktiviti berpantang perlu dilakukan untuk memulihkan kesihatan mereka.

Apapun, perlu diingat bahawa amalan penjagaan berpantang ini adalah khusus untuk wanita yang bersalin normal.

Bagi wanita yang bersalin secara pembedahan Caesarean, anda perlu mendapatkan khidmat doktor dan bidan profesional terlebih dahulu kerana dikhuatiri akan memberi risiko kepada luka pembedahan tersebut.

Biasanya, urutan di sekitar perut hanya boleh dilakukan selepas 6 bulan bersalin. Namun begitu urutan di tempat selain luka jahitan boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja.

Selain itu, untuk memudahkan ibu yang berpantang sendiri terdapat pakej berpantang yang turut menawarkan khidmat memasak makanan berpantang selain menjaga bayi yang baru lahir.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×