Famili

2 Kali Ke ‘Emergency’, Rupanya Bayi Saya Dah Jadi Perokok Di Usia 51 Hari

10.1K
SHARES

Apabila doktor berkata:

“Bayi awak dah jadi seorang perokok pada usia 51 hari”

Ibu mana yang tak tersentap mendengarnya? Begitulah ujar Puan Azyeen Shazriyani Samat yang terpanggil untuk berkongsi pengalaman mereka suami isteri. Diharapkan ia menjadi pengajaran kepada ramai lagi ibu bapa di luar sana tentang kesan merokok kepada orang awam, terutamanya bayi.

Mula Dengan Selsema Dan Batuk Berkahak

Seminggu sebelum balik ke kampung, anak saya Imraz asyik selsema dan batuk berkahak. Bukan itu saja, lepas menyusu dia pula muntah semahunya sampai susah bernafas. Risaunya saya sebab semakin hari semakin teruk keadaannya.

Petang itu, saya dan suami ambil keputusan untuk bawa dia terus ke bahagian Kecemasan Putrajaya selepas suami balik kerja. Sampai giliran kami, seorang doktor wanita periksa paru-paru, berat, dan keadaan fizikalnya secara keseluruhan. Imraz tak demam, cuma tekaknya sedikit merah dan tidaklah begitu teruk. Jadi, doktor bagi ubat untuk dititiskan ke hidung saja.

Tapi sebelum balik, Imraz disuruh sedut gas dan garam mineral untuk ‘clear’kan rongga hidung dan ruang pernafasannya. Hanya Allah saja yang tahu betapa runtunnya hati saya melihat anak di pangkuan menangis sampai tak bersuara. Tapi, apakan daya kerana ini mungkin yang terbaik untuk kesihatannya. Saya perlu berhati kental!

Makin Kerap Muntah Dan Kurang Menyusu

Hari demi hari Imraz masih belum menampakkan perubahan positif walaupun setelah mengambil ubat. Keadaannya nampak bertambah buruk. Sampai di rumah ketika itu sudah pukul 6 lebih dan hampir Maghrib.

Saya ajak suami ke hospital kerana nampak dia dah mula kerap batuk, demam pula semakin teruk dan lebih kerap muntah. Apabila menyusu, dia cuma mahu sekejap-sekejap. Selalunya tak begini. Oleh kerana rasa tak sedap hati, kami terus ke bahagian Kecemasan sekali lagi.

Dalam Bilik Doktor

Setibanya giliran kami, seorang doktor lelaki Cina menyambut dan memulakan soal jawab.

Doktor: Ya siapa sakit? Sakit apa? 

Saya: Bayi saya batuk berkahak, selsema, muntah susu.

Doktor: OK. Mula-mula saya nak tanya, suami merokok tak?

Suami: Ya. TAPI saya merokok jauh daripada anak saya. Di luar rumah.

Doktor: Jadi, memang tak ada penyebab lain. Puncanya ROKOK. Walaupun ‘you’ merokok jauh daripada dia atau bukan di depan bayi, ‘you’ fikir asap rokok itu akan pergi jauh-jauh? ‘Your baby still can get it’! Bayi berapa bulan?

Saya: 51 hari.

Doktor: Wah, mudanya! Bayi kamu seawal 51 hari dah jadi seorang perokok (sambil usap kepala Imraz). Bayi kamu tak demam kan?

Saya: Tak. Dia cuma batuk dan selsema. Tapi suhu badan semua OK.

Suami: Betulkah ini semua kesan merokok, doktor?

Doktor: YES! I nak tanya you merokok tak sakit tekak ke? Cuba tengok orang yang tak merokok tapi bila tersedut asap mesti terbatuk-batuk, bukan? Macam itulah juga bayi. You tak merokok depan dia. Tapi lepas merokok you kiss your baby, you angkat dia. Asap-asap yang melekat pada rambut, janggut, baju, dan badan, semuanya bayi akan hidu. And it is very dangerous! Kalau you nak angkat baby you boleh dengan syarat, selepas merokok you kena mandi dan tukar baju lain setiap kali nak dekat dengan bayi.

(Kami saling berpandangan)

Saya: (Mata dah jeling-jeling pada suami dengan perasaan geram dan marah. Sebab sebelum ini saya dah puas membebel tapi dia tak nak dengar!)

Doktor: Let me check your baby.

Suhu badan OK. Paru-paru OK. Tapi tekaknya MERAH.

Doktor: Tengok, dia punya tekak merah sebab itu dia kurang menyusu. Sebab dia tak boleh menelan dengan baik. Tengok, air liur dia pun dia keluarkan.

Saya: Doktor, ‘air cond’ pun salah satu punca jugakah?

Doktor: Ya, kalau boleh tak payah pakai ‘air cond’ dulu..

Lepas balik dari hospital, saya terus menangis dalam kereta sebab tak sanggup tengok anak saya sakit berhari-hari. Sambil itu saya membebel juga pada suami sebab dulu dia cakap, “Anak orang lain OK je, tak ada masalah walaupun ayah dia merokok.” Bagi saya, kita tak boleh samakan anak orang lain dengan anak kita! Antibodi setiap anak itu berbeza-beza. Apa pun, suami pun salahkan diri sendiri kerana tak nak dengar apa yang saya cakapkan pada dia sebelum ini.

kesan merokok

Foto Kredit: Facebook Cik Bybie

Semoga Menjadi Pengajaran

Jadi, ibu-ibu yang suaminya merokok, tolonglah pesan pada mereka kalau sayangkan bayi anda. Sekarang, suami saya dahpun kurangkan merokok dan ikut 100% apa yang doktor pesan.

Saya faham, kalau nak berhenti merokok secara mengejut itu mungkin mustahil. Tapi tindakan ini sangat membantu kesihatan bayi. Sekarang, Imraz sudah pun pulih sepenuhnya.

Seperkara lagi, kalau bayi sakit, cepat-cepatlah bawa ke hospital. Saya lebih suka pergi ke bahagian Kecemasan kerana doktor di sana akan periksa dengan lebih terperinci berbanding klinik. Tak kisahlah tunggu lama pun, asalkan kita tahu tahap kesihatan bayi masing-masing.

Semoga perkongsian pengalaman ini menjadi iktibar buat semua ibu-ibu baru macam saya.

Assalamualaikum,
Ummi Mior Zhariff Imraz

*Perkongsian asal Puan Azyeen Shazriyani Samat atau Cik Bybie menerusi laman Facebooknya ini diterbitkan semula dengan kebenaran beliau.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×