Nur

6 Hak Isteri Selepas Bercerai Yang Patut Dituntut Ke Atas Bekas Suami

282
SHARES

Perceraian adalah sesuatu yang setiap kita cuba elakkan. Tiada satu perkahwinan pun yang menyangka ia akan berakhir dengan perceraian. Namun ia adalah jalan keluar bagi sesetengah permasalahan yang rumit dan sukar bagi pasangan tersebut.

Dalam Islam, tanggungjawab suami memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak bukan sahaja semasa hidup bersama tetapi juga selepas bercerai dengan isteri.

Menurut Jabatan Kehakiman Syariah Pulau Pinang, berikut adalah hak wanita selepas bercerai dengan suami.

6 Hak Isteri Selepas Perceraian

Pendahuluan

Mengenai hak-hak wanita selepas diceraikan suami, Allah swt telah menyatakan :

“Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan mereka. Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalak) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin, kemudian jika mereka menyusu (anak-anak)mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya dan musyawarahkanlah antara kamu (segala sesuatu) dengan baik dan jika kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya”.
( Surah at-Talak : 6 )

Demikian Allah memberi panduan mengenai hak-hak wanita selepas diceraikan suami. Ini bermakna tanggungjawab suami memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak bukan sahaja semasa hidup bersama tetapi juga selepas bercerai dengan isteri.

Bangunan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan. NSTP/GHAZALI KORI

Tuntutan Ke Atas Bekas Suami Di Mahkamah Syariah

Seseorang wanita yang diceraikan oleh suaminya boleh membuat beberapa tuntutan atas bekas suaminya di Mahkamah Syariah.

Tuntutan-tuntutan itu ialah :

1. Tuntutan Mutaah

Mutaah ialah sejumlah harta di mana suami wajib memberi kepada bekas isterinya yang pernah disetubuhi jika perceraian itu bukan berpunca dari isteri dan bukan kematian suami.

Dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat mengenai Mutaah:
“Kepada wanita-wanita yang diceraikan (hendaklah diberikan oleh suaminya) Mutaah menurut yang ma’aruf sebagai suatu kewajiban bagi orang-orang yang bertaqwa”.
(Surah Al-Baqarah : 241)

Dalam ayat yang lain pula Allah swt menyatakan:
“Tidaklah kamu bersalah jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu bercampur dengan mereka atau sebelum kamu menetapkan mas kahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi Mutaah (pemberian saguhati) kepada mereka iaitu suami yang senang menurut kemampuannya dan suami yang miskin menurut kemampuannya sebagai pemberian saguhati menurut yang patut lagi menjadi satu kewajiban atas orang-orang yang mahu berbuat kebajikan”.
(Surah Al-Baqarah : 236)

Firman Allah swt :
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman kemudian kamu ceraikan mereka sebelum menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang eddah yang kamu boleh hitungkan masanya. Oleh itu, berilah Mutaah (pemberian saguhati) kepada mereka dan lepaskan mereka dengan cara yang sebaik-baiknya”.
(Surah Al-Ahzab : 49)

Mutaah itu boleh sama ada berbentuk

  • pakaian
  • wang
  • apa-apa barang yang sesuai dengan keadaan dan kedudukan suami.

Islam tidak menetapkan kadar mengenai Mutaah ini.

Dasar penetapannya bergantung kepada keredhaan dan persetujuan suami isteri.

Walau bagaimanapun, jika kadarnya menjadi pertelingkahan suami isteri, maka Mahkamah Syariah akan memutuskan kadar yang patut berdasarkan kemampuan suami.

Dalam Islam pemberian Mutaah ini bertujuan:

▪️ Seseorang isteri lazimnya bergantung hidup kepada suami. Oleh itu apabila ada pemberian Mutaah ini, maka bekas isteri bolehlah menggunakannya sebagai modal untuk berdikari dan memulakan hidup baru selepas bercerai.

▪️ Menghilangkan rasa malu dan prasangka buruk terhadap isteri. Pada kebiasaaannya terdapat anggapan masyarakat bahawa seseorang wanita yang diceraikan kerana ada sesuatu aib pada dirinya. Oleh itu pemberian Mutaah itu bermakna perceraian itu bukan berpunca dari bekas isteri.

▪️ Untuk menentukan perceraian itu dibuat secara baik dan sebagai penghargaan suami terhadap isteri atas sumbangan dan peranan yang diberikan oleh isteri.

2. Tuntutan Nafkah Eddah

Seseorang isteri yang diceraikan oleh suami selepas disetubuhi, wajib bereddah.

Hikmah bereddah ialah supaya dalam waktu eddah talak rajie ini, suami dan isteri itu berfikir panjang dan merasa bagaimana pahit getirnya perceraian.

Walau bagaimanapun, bagi seseorang isteri yang diceraikan dalam talak rajie berhak mendapat nafkah dengan syarat:

a. Isteri itu diceraikan secara talak rajie (talak yang boleh dirujuk).

Berdasarkan dalil Nabi Muhammad saw bersabda,
“Hanya nafkah dan tempat kediaman untuk perempuan yang boleh dirujuk oleh suaminya”.
(Riwayat Ahmad dan An-Nasa’i)

Pendapat ini adalah sepakat mazhab empat.

b. Isteri yang hamil yang ditalak dengan talak bain (tidak boleh dirujuk) berhak juga mendapat nafkah sehingga anak itu lahir.

Ini berdasarkan firman Allah swt:
“Kalau mereka itu hamil, maka berilah nafkah kepada mereka hingga mereka melahirkan anaknya”.
( Surah At-Talaq: 6)

Fuqaha bersepakat dalam perkara ini di mana perempuan itu berhak mendapat nafkah, pakaian dan tempat tinggal hingga anak itu lahir.

Seseorang isteri yang mengandung sememangnya menghadapi keletihan dan tekanan perasaan memikirkan tentang kesempurnaan bayi kandungannya.

Apabila berlaku perceraian kesannya akan menambahkan lagi penderitaan di mana kemungkinan besar memberi kesan kepada kesempurnaan bayi dan menganggu kesihatan si ibu.

Oleh itu sebagai langkah untuk mengurangkan tekanan perasaaan dan menjaga kepentingan anak dalam kandungannya maka Islam memutuskan bahawa perempuan hamil walaupun diceraikan secara talak bain berhak juga mendapat nafkah eddah.

c. Perempuan tidak hamil yang diceraikan secara talak bain, tidak berhak mendapat nafkah, pakaian dan tempat kediaman.

Ini adalah pendapat Jumhur Fuqaha dengan alasan ketika nabi Muhammad saw mengulas mengenai talak tiga ia menyatakan:
“Tidak ada hak untuknya bagi tempat kediaman dan nafkah”.
(Riwayat Ahmad dan Muslim)

Walau bagaimanapun, menurut Hanafi perempuan dalam kes ini berhak mendapat nafkah kerana Allah swt berfirman:
“Berikanlah mereka itu tempat kediaman sebagaimana tempat kediaman kamu dari kekayaaan kamu”.
(Surah At-Talak : 6)

Menurut Hanafi kehendak ayat ini adalah umum sama ada perempuan itu dalam eddah talak rajie atau talak bain semuanya mendapat nafkah.

d. Isteri yang dalam eddah kerana kematian suami tidak berhak mendapat nafkah eddah meskipun ia dalam kaeadaan hamil.

Mengenai perkara ini Nabi Muhammad saw menjelaskan:
“Tidaklah mendapat nafkah bagi perempuan hamil yang kematian suami”.
(Riwayat Darul-Qutni)

Pendapat ini adalah sepakat Fuqaha kerana pada kebiasaaannya seseorang yang diceraikan kerana kematian suami boleh membeuat tuntutan pusaka ke atas harta peninggalan suami dan tanggungjawab suami itu dianggap terhapus.

e. Isteri hendaklah taat dan patuh kepada suami iaitu isteri tidak nusyuz.

Menurut kitab Kifayah Al-Akhyar Juz 29 halaman 48 menyatakan:
“Apabila seseorang isteri nusyuz maka gugurlah hak isteri untuk menerima nafkah, pakaian dan giliran”.

Ini bermakna seseorang isteri yang diceraikan berhak mendiami tempat tinggal dan mendapatkan nafkah dari bekas suaminya dalam tempoh eddah berdasarkan syarat-syarat di atas.

Foto Kredit : news.shayan-medicine.com

3. Tuntutan Hadhanah (Hak Jagaan Anak)

Hadhanah bermakna pemeliharaan anak lelaki atau perempuan yang masih kecil yang belum boleh berdikari, menjaga kepentingan anak, melindunginya dari segala yang membahayakan dirinya, mendidik rohani dan jasmani serta akalnya supaya si anak dapat berkembang dan dapat mengatasi persoalan hidup yang akan dihadapinya.

Dalam Islam, hukum memelihara anak adalah satu kewajiban ibu bapa kerana si anak memerlukan asuhan dan kasih sayang ketika dalam proses pertumbuhan hidupnya.

Persoalan yang timbul ialah siapa yang berhak memelihara dan menjaga anak jika ibu bapa bercerai-berai?

Menurut sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar,

“Bahawasanya seseorang perempuan telah datang menemui Rasulullah saw dan bertanya: “Ya Rasulullah, bahawa anankku ini, perutkulah kandungannya, susukulah minumannya dan ribaanku rumahnya tetapi bapanya telah menceraikan aku dan hendak merampas anak itu daripada aku”. Selepas mendengar aduan itu Rasulullah saw bersabda,“Engkaulah yang lebih berhak menjaga anak itu selagi engkau belum berkahwin lain”.
(Riwayat Abu Daud)

Hadith ini menetapkan bahawa ibu adalah lebih berhak terhadap pemeliharaan anak daripada ayah.

Berdasarkan kepada kiasan hadith tersebut ternyata orang perempuan lebih diutamakan tentang hak pemeliharaan anak, kemudiannya barulah diikuti oleh orang lelaki.

Islam mengutamakan perempuan dalam hal hadhanah ini kerana ibu lebih sayang kepada anaknya, lebih tahu bagaimana mendidiknya dan lebih sabar dalam mengasuh anaknya daripada ayah. Demikian juga mempunyai masa yang luas berdampingan dan bermanja dengan anak-anak berbanding dengan bapa yang selalu sibuk dengan tugas di luar.

Berdasarkan hujah kitab Kifayah Al-Akhyar Juz 2 halaman 93:

“Apabila mencerai seseorang lelaki akan isterinya dan ia mempunyai anak dengan isteri itu maka si isteri berhak memelihara anak itu sehingga anak itu berumur tujuh tahun (mumaiyyiz)”.

Hak hadhanah akan terlucut sekiranya si isteri itu mempunyai salah satu syarat sepertimana berikut:

“Dan syarat-syarat hadhanah itu tujuh perkara iaitu

  • berakal,
  • merdeka,
  • beragama,
  • lemah lembut,
  • amanah,
  • tidak bersuami dan
  • bermukim.

Sekiranya kurang salah satu syarat itu maka gugurlah hak hadhanah itu”.

Ini bermakna anak-anak yang belum mumaiyyiz diserah kepada ibunya.

*menurut kebiasaan, bagi lelaki yang telah mencapai umur 7 tahun dianggap mumaiyyiz manakala perempuan pula apabila berumur 9 tahun.

Jika ibu hilang kelayakan hak jagaan anak maka anak itu diserah kepada nenek sebelah ibu hingga ke atas.

Foto Kredit: someecards.com

4. Tuntuan Nafkah Anak

Dalam Islam hak mendapat kehidupan bagi si anak merupakan hak anak yang tidak boleh diganggu dan disekat. Hak hidup itu juga bererti menjadi kewajiban orang tua memelihara dan memberi bekal ilmu kepada anak sehingga anak itu boleh berdikari. Firman Allah swt:
“Kalau mereka itu (bekas isterimu) menyusukan anakmu maka berilah upah mereka”.
(Surah At-Talak : 6)

Dalam ayat yang lain Allah swt menerangkan:
“Janganlah seseorang itu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan seorang bapa kerana anaknya dan waris pun berkewajiban demikian”.
(Surah Al-Baqarah : 233)

Dari sebuah hadith yang diterangkan oleh Aisyah r.a. bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Hindun pernah bertanya: “Ya Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufian (suami Hindun) seorang lelaki yang sangat bakhil. Ia tidak pernah memberi belanja kepadaku yang dapat mencukupi diriku dan anakku kecuali apa yang aku ambil dari hartanya itu, sedangkan ia tidak mengetahuinya”. Kemudian Rasulullah saw menjawab: “Ambillah apa yang sekiranya boleh mencukupi dirimu dan anakmu dengan cara yang makruf”.
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan dalil-dalil di atas ternyata seseorang bapa wajib memberi nafkah untuk anak-anaknya dengan syarat:

  • Bahawa anak itu belum boleh berdikari. Bagi anak perempuan sehingga ia berkahwin atau sehinga ia ada pekerjaan.
  • Bahawa anak itu miskin tidak mempunyai harta sendiri untuk menafkahkannya.
  • Bapa itu mampu memberi nafkah.
    Apabila anak itu telah baligh dan boleh berdikari maka bapa tidak wajib lagi memberi nafkah untuk anak itu.
  • Begitu juga jika anak itu mempunyai harta sendiri meskipun dia masih kecil maka bapa tidak wajib memberi nafkah kepada anaknya.

5. Tuntutan Harta Sepencarian

Tuntutan harta sepencarian adalah lebih berdasarkan kepada undang-undang adat Melayu.

Oleh kerana prinsip harta sepencarian tidak berlawanan dengan kehendak Syariah Islam maka peruntukan harta sepencarian diterima sebagai sebahagaian daripda Undang-Undang Islam di Malaysia.

Dalam Al-Quran ada menyebut:
“Orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan”.
(Surah An-Nisaa’ : 32)

Dalam ayat ini dapat kita fahami bahawa hak wanita dalam harta benda itu bergantung dari apa yang diusahakan.

Menurut Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, harta sepencarian ditakrifkan sebagai:
Harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak’.

Namun persoalan yang timbul ialah bagaimana kedudukan seseorang isteri yang hanya bertugas sebagai suri rumahtangga sepenuh masa, adakah ia berpeluang menuntut harta sepencarian?

Ya, seorang surirumah boleh menuntut hak harta pencarian atas alasan kesediaannya berdampingan dengan suami adalah menghasilkan ketenangan fikiran yang membolehkannya berniaga, bekerja atau mencari nafkah dengan berkesan.

6. Tunggakan Hutang

Selain daripada itu, seseorang isteri boleh membuat tuntutan hutang ke atas bekas suaminya jika didapati bekas suaminya tidak membayar mas kahwin, tidak memberi saraan hidup ketika dalam tempoh perkahwinan, tunggakan nafkah anak dan sebagainya.

Untuk memudahkan mendapat hak-hak tersebut adalah lebih baik menggunakan peguam.

Bagi mereka yang tidak mampu menggunakan khidmat peguam, bolehlah membuat permohonan kepada Biro Bantuan Guaman.

Semua permohonan itu dibuat kepada Pendaftar Mahkamah Syariah.

Kesimpulan

Sebenarnya cara yang paling baik untuk menyelesaikan hak-hak itu ialah secara perundingan antara suami dan isteri.

Penyelesaian secara rundingan ini menjimatkan masa, tidak menyusahkan anak-anak dan dapat menjimatkan wang.

Jika tidak ada pilihan lain barulah dibawa ke Mahkamah Syariah.

Apa yang penting ialah hak-hak itu hendaklah dituntut, jika mempunyai alasan yang cukup.

Terdapat kes-kes di mana sebaik sahaja berlaku perceraian si isteri menunjukkan sikap ego dan sombongnya terhadap suami. Apabila perceraian berlaku begitu lama barulah menyesal dan mulai bertungkus lumus untuk membuat tuntutan.

Islam adalah agama yang adil dan memberi hak pembelaan yang cukup kepada kaum wanita.

Maka inilah pentingnya ilmu dan manfaatkanlah ia bagi kepentingan bersama.

*Sumber: Jabatan Kehakiman Dan Syariah Negeri Pulau Pinang

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×