Sihat

6 Hal Yang Kurang Diketahui Tentang Lupus, Penyakit Dialami Selena Gomez

572
SHARES
penyakit lupus

Dalam minggu ini, kita mendengar perkhabaran dari Hollywood bahawa artis terkenal Selena Gomez baru saja menjalani pemindahan buah pinggang akibat penyakit Lupus yang mula didedahkan kepada umum pada tahun 2015. Sahabat karibnya sendiri sanggup menderma buah pinggang untuknya bagi menjayakan pembedahan tersebut.

Rata-rata pasti ramai yang tidak pernah dengar akan penyakit ini kerana kurang pendedahan tentangnya. Selain buah pinggang, lupus juga boleh menyerang organ lain seperti otak, jantung, paru-paru dan kulit.

6 Hal Yang Kurang Diketahui Tentang Lupus, Penyakit Yang Dialami Selena Gomez

1. Apakah Sebenarnya Penyakit Lupus?

Lupus ialah penyakit yang digelar auto-immune disease, di mana sistem ketahanan tubuh berfungsi secara tidak normal.

Jika sistem imun yang normal berfungsi sebagai benteng bagi melawan penyakit dan bakteria tidak baik dalam badan, individu yang menghidapi penyakit lupus ini memiliki sistem imun yang bertindak untuk menyerang tisu dan organ sendiri.

Foto Kredit: massagemag.com

2. Jenis-jenis Penyakit Lupus

Penykit lupus terbahagi kepada dua iaitu Discoid Lupus Erythematosus (DLE)  dan Systemic Lupus Erythematosus (SLE).

Penyakit lupus DLE menyerang bahagian kulit yang terkena cahaya matahari dan namun tidak memberi kesan teruk kepada organ-organ dalam badan.

Penyakit lupus nephritis yang dihidapi Selena Gomez jatuh di dalam kategori SLE iaitu jenis penyakit lupus yang lebih berbahaya dan dapat menyerang organ-organ penting dalam badan. Ia juga boleh menyerang mana-mana bahagian kulit, sendi serta otot.

penyakit lupus

Foto Kredit: dreamstime.com

3. Punca Penyakit Lupus

Sehingga ke hari ini, pakar masih belum menjumpai punca spesifik penyakit ini. Sesetengah pakar berpendapat bahawa pelbagai faktor boleh menyumbang kepada penyakit ini seperti paras hormon, tahap sistem ketahanan badan serta faktor persekitaran.

Penyakit lupus boleh menyerang sesiapa sahaja lebih-lebih lagi yang berusia antara 20an ke 40an. Menurut kajian oleh Lupus Research Institute, penyakit lupus lebih mudah dihidapi oleh wanita berbanding lelaki. Selain disebabkan faktor ketahanan genetik, tahap estrogen tinggi semasa seseorang mengandung juga dipercayai boleh menyumbang kepada risiko lupus.

Foto Kredit: alamy.com

4. Simptom Penyakit Lupus

Tanda-tanda yang ada pada pesakit selalunya berbeza-beza mengikut jenis penyakit lupus dan tahapnya. Sesetengah pesakit juga menunjukkan simptom yang ketara dan sesetengahnya tidak.

Antara simptom yang biasa dilihat pada pesakit ialah lenguh-lenguh atau bengkak pada bahagian sendi, bengkak air pada bahagian buku lali, demam dan serangan sawan.

Pesakit juga cenderung menunjukkan simptom dengan ruam berbentuk rama-rama di pipi dan hidung serta bahagian kulit lain. Kulit mereka juga lebih sensitif pada pencahayaan.

 

Foto Kredit: medicinenet.inc

5. Komplikasi Penyakit Lupus

Pesakit yang didiagnos dengan penyakit lupus aktif badannya lebih mudah berasa letih, berat badan semakin berkurang dan selalu demam.

Semakin penyakit lupus berkembang, ia akan menyerang kepada organ yang spesifik. Pada tahap ini, pesakit juga menunjukkan tanda-tanda yang lebih ketara bergantung pada organ yang diserang oleh penyakit ini.

Lupus yang menyerang kulit boleh membuatkannya menjadi semakin teruk apabila terdedah kepada cahaya matahari serta menyebabkan masalah lain seperti keguguran rambut dan sakit mulut.

Individu yang diserang penyakit lupus pada sendi pula mudah mengalami penyakit arthritis secara berkala atau kekal pada pesakit.

Secara purata, setengah daripada bilangan pesakit lupus mengalami serangan pada bahagian buah pinggang sehingga menyebabkan keradangan. Keradangan yang dialami juga menyebabkan buah pinggan tidak dapat berfungsi secara normal untuk  mengeluarkan sisa toksik dari badan dan mengawal jumlah cecair dalam badan. Hal ini menyebabkan berat badan mudah naik serta bengkak yang boleh melarat di bahagian kaki, tangan, buku lali dan kelopak mata.

Lupus juga boleh menyerang darah dan mengakibatkan anemia dan mudah terluka atau lebam. Kes darah beku juga boleh berlaku dan menyebabkan kegagalan organ seperti jantung, paru-paru atau otak. Lupus yang menyerang lapisan luar jantung dan paru-paru membuatkan pesakit sesak nafas, sakit dada dan degupan jantung tidak teratur.

Foto Kredit: sumedico.com

6. Selebriti Lain Yang Menghidap Lupus

Selain Selena, sebenarnya terdapat juga beberapa selebriti terkenal yang turut menghidapi penyakit lupus. Antara yang paling ketara adalah Seal, seorang penyanyi dan bekas suami kepada supermodel terkenal Heidi Klum. Menurut Health.com, tanda yang terdapat pada wajahnya adalah kesan daripada discoid lupus erythematosus (DLE), di mana ia hanya menyerang bahagian kulitnya.

Selain Seal, antara selebriti lain yang mengalaminya termasuklah Toni Braxton dan Nick Cannon.

penyakit lupus

Foto Kredit: enstarz.com

Pentingnya Kesedaran Terhadap Penyakit Lupus

Selain tiada penawar khusus untuk memerangi penyakit ini, penghidap lupus juga jarang menunjukkan tanda-tanda ketara. Oleh itu adalah penting bagi semua untuk mengambil tahu dan memupuk kesedaran terhadap penyakit ini.

Pemeriksaan kesihatan berkala adalah penting untuk memastikan kesihatan dalam keadaan optimum dan memerangi penyakit dari peringkat awal. Sebagai usaha awal, jauhi perkara yang memudaratkan diri seperti alkohol dan rokok. Merokok bukan sahaja memberikan kesan negatif pada kesihatan, malah membuatkan penyakit lupus makin melarat.

Apabila berada di bawah terik matahari, jangan lupa untuk memakai losyen sunblock atau pakaian sesuai untuk mengurangkan pendedahan kulit. Kesihatan juga perlu dijaga dengan pengamalan gaya hidup sihat melalui pemakanan seimbang dan menjadikan riadah sebagai rutin.

 

 

*Sumber rujukan: National Resource Center On Lupus, WebMD

 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×